KUALA SELANGOR: Tindakan seorang pemandu lori mengisi diesel ke dalam tangki yang diubah suai di sebuah stesen minyak di Puncak Alam di sini memakan diri apabila dia ditahan pihak berkuasa, semalam.
Cubaan menyeleweng ribuan liter minyak bersubisidi itu dilakukan lelaki berusia lingkungan 30-an pada kira-kira pukul 1.40 pagi.
Perbuatan itu dikesan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor menerusi rondaan dan pemantauan dalam Ops Tiris.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Selangor, Mohd. Khairi Jamaludin berkata, diesel itu diisi secara serentak menggunakan dua nozel ke dalam tangki minyak kenderaan tersebut.
“Hasil pemeriksaan mendapati enam tong plastik berkapasiti 1,000 liter berada di dalam ruang kargo lori.
“Minyak yang diisi menerusi tangki asal lori dipam masuk ke dalam empat tangki plastik yang diubah suai.
“Selain lori, kita merampas enam tong plastik, pam bermotor, hos penyambung dan 2,000 liter diesel dianggarkan bernilai RM4,300,” katanya ketika dihubungi, semalam. – UTUSAN