Disangkakan panggilan scammer, rupanya menang kereta - Utusan Malaysia

Disangkakan panggilan scammer, rupanya menang kereta

MASRI Razali (kiri) menyerahkan replika kunci hadiah kemenangan iaitu sebuah kereta Perodua Bezza kepada Mohamad Safiai pada majlis penyampaian hadiah Kempen Cabutan Bertuah Kepada Pembayar Secara Dalam Talian Dengan Bayaran Penuh Cukai Taksiran MBS di Seremban hari ini.-UTUSAN/BADRUL HAFIZAN MAT ISA.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang pesara guru tidak menyangka panggilan telefon diterima yang pada mulanya disangka scammer rupa-rupanya pemakluman tentang pemilihan dirinya sebagai pemenang sebuah kereta Perodua Bezza.

Kemenangan hadiah utama diterima oleh Mohamad Safiai Gafar, 67, itu menerusi Kempen Cabutan Bertuah Kepada Pembayar Secara Dalam Talian Dengan Bayaran Penuh Cukai Taksiran Sehingga 30 Jun 2024 oleh pihak Majlis Bandaraya Seremban (MBS).

“Memang saya pada mulanya sangkakan panggilan dari scammer dan saya tidak menjawabnya namun apabila nombor yang sama berulang kali menelefon saya pun jawab dan kemudian pihak MBS memaklumkan saya menjadi pemenang.

“Memang saya terperanjat kerana itulah pertama kali saya membuat pembayaran cukai taksiran secara dalam talian. Saya tahu ada kemudahan pembayaran secara dalam talian ini namun memang tidak mengetahui ada pertandingan cabutan bertuah ini.

“Saya gembira dan bersyukur, kereta baharu ini akan saya gunakan bagi urusan harian termasuk membawa keluarga berjalan-jalan kerana kereta yang saya miliki ketika ini iaitu Perodua Kelisa pun sudah lama,” katanya.

Dia ditemui selepas majlis penyampaian hadiah program kempen berkenaan yang diadakan di Wisma MBS di sini hari ini.

Sementara itu, Datuk Bandar MBS, Datuk Masri Razali berkata, program cabutan bertuah tersebut diadakan setiap tahun sehingga kini untuk menggalakkan dan menghargai warga bandar raya Seremban yang telah menjelaskan cukai taksiran semasa melalui secara dalam talian.

“MBS telah menerima sebanyak 23,291 penyertaan dengan jumlah bayaran sebanyak RM8.56j uta. Kempen ini diadakan adalah khusus kepada seluruh pemilik harta dalam kawasan pentadbiran MBS sebagai insentif dan galakkan supaya pembayar cukai menjelaskan cukai taksiran secara online dan menjelaskan tunggakan dengan segera,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan kepada warga bandar raya Seremban supaya membayar cukai taksiran tepat pada waktunya bagi mengelakkan didenda.

Cukai taksiran yang dikenakan bukanlah bertujuan untuk menyusahkan mana-mana pihak malah cukai tersebut dipulangkan kepada pembayar cukai melalui perkhidmatan yang diberikan seperti membina dan membaiki infrastruktur serta menyediakan kemudahan awam,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya