Dewan komuniti bernilai RM2j akan dibina di Bandar Sri Sendayan - Utusan Malaysia

Dewan komuniti bernilai RM2j akan dibina di Bandar Sri Sendayan

PENGARAH Urusan Kumpulan Matrix, Ho Kong Soon (dua dari kanan) menyerahkan replika cek kepada Datuk Bandar MBS, Datuk Masri Razali (kiri) sambil disaksikan oleh Aminuddin (tiga dari kiri) dan Mohamad Haslah (tiga dari kanan) pada Majlis Penyerahan Dana Sumbangan Pembinaan Dewan Komuniti Bandar Sri Sendayan di Seremban hari ini.-UTUSAN/NUR SHARIEZA ISMAIL.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebuah dewan komuniti yang dianggarkan bernilai RM2 juta akan dibina di kawasan Bandar Sri Sendayan di sini dan dijangka siap pada tahun 2026.

Pembinaan dewan itu akan dibina di tanah seluas 0.81 hektar berhampiran Klinik Kesihatan Bandar Sri Sendayan yang sekali gus dilihat dapat memenuhi keperluan aktiviti komuniti hampir 40 persatuan penduduk dengan populasi seramai 50,000 isi rumah di sekitar kawasan berkenaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pembinaan dewan komuniti itu akan diuruskan oleh pihak Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dan turut mendapat sokongan daripada pihak syarikat pemaju hartanah, Matrix Concepts Holdings Berhad (Matrix Concepts) menerusi penyaluran dana pembinaan.

“Dewan komuniti ini adalah satu aset yang amat penting dalam membina kekuatan komuniti kita. Ia bukan sekadar struktur fizikal, tetapi sebuah tempat yang akan menjadi pusat perjumpaan dan pembangunan bagi penduduk tempatan.

“Melalui pembinaan dewan komuniti, kita sedang membentuk satu platform untuk berinteraksi, berkongsi idea, dan bekerjasama untuk kebaikan bersama,” katanya pada Majlis Penyerahan Sumbangan Dana Pembinaan Dewan Komuniti di Bandar Sri Sendayan di sini hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Kumpulan Matrix Concepts, Datuk Mohamad Haslah Mohamad Amin berkata, sebagai satu tanggungjawab sosial korporat, syarikat berkenan turut menyalurkan sumbangan dana berjumlah RM1 juta bagi kerja pembinaan dewan komuniti tersebut.

“Kumpulan Matrix Concepts menyalurkan dana sumbangan sebanyak RM500,000 pada tahun ini dan selebihnya iaitu RM500,000 akan disalurkan secara berfasa kepada pihak MBS bagi perlaksanaan projek pembinaan dewan komuniti pada tahun depan,” katanya.

Beliau menambah, kemudahan dewan komuniti itu turut mendukung aspirasi Kumpulan Matrix Concepts untuk menjadikan kawasan Bandar Sri Sendayan sebagai sebuah hab komuniti bagi penduduk persekitarannya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya