PETALING JAYA: Penyokong tegar Harimau Malaya yang tular di Stadium Al Janoub sebelum ini bakal menerima motorsikal selepas hantaran seorang pengguna Facebook dikongsi 10,000 kali.
Perkongsian ganjaran pengguna Facebook yang dikenali sebagai Ahmad Alhafiz Najmi itu dibuat selepas lelaki berambut perang itu sanggup menjual motosikalnya jenis Yamaha LC bagi membiayai perjalanannya ke bumi Qatar.
Menurut Ahmad Alhafiz, dia akan menghadiahkan motosikal jenis Honda RS150 kepada Derrick Gan yang kelihatan menangis ketika meraikan gol penyamaan skuad kebangsaan menentang Korea Selatan semalam.
“Dah capai 10,000 dalam tiga jam. terima kasih semua, saya dah capai KPI saya,”katanya menerusi Facebooknya hari ini.
Berdasarkan maklumat yang tular di media sosial, penyokong setia dikenali sebagai Derrick Gan dan berasal dari Melaka itu pernah memuat naik satu iklan jualan motosikalnya pada 28 Disember lepas.
Katanya, ia terpaksa melepaskan motosikal kesayangannya pada harga RM4,500 demi merealisasikan impian dan menunjukkan sokongan sepenuhnya kepada pasukan Harimau Malaya.
“Mencari dana ke Qatar. ‘Malaysia Road to Asia!’ Tumpang lalu adik nak lepaskan motor demi negara tercinta.
“First major tournament in Malaysia’s history! (Perlawanan besar pertama kali dalam sejarah Malaysia). Ada sesiapa sudi tolong tak?,” tulis Derrick.-UTUSAN ONLINE-