SEREMBAN: Parti DAP sudah menjangkakan bahawa pihak Perikatan Nasional (PN) akan terus mempolemikkan isu kenyataan Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham berhubung cadangan orang bukan Islam menganggotai Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, walaupun Koo Ham telah pun memohon maaf secara terbuka dan menarik balik kenyataan, isu itu berterusan dimainkan dan dijadikan sebagai modal politik pembangkang.
“Kami memang tahu bahawa pihak lawan terutamanya PN akan mempolitik segala isu ini sebab mereka tiada modal lain, merek akan gunakan isu ini untuk menyerang kerajaan kononnya kerajaan didominasi oleh DAP.
“Ini modal lama mereka, memang saya sudah katakan bahawa kenyataan Datuk Ngeh Koo Ham itu ada kekhilafan, tidak sepatutnya beliau keluarkan kenyataan itu, beliau sudah tarik balik dan sudah buat permohonan maaf, kerana beliau tidak tahu latar belakang pembentukan jawatankuasa itu.
“Kami sudah ambil tindakan sepatutnya, kami tahu (mereka) akan cuba polemikkan, mereka akan ihat ini sebagai modal untuk terus burukkan kerajaan, itu taktik mereka, dapat satu isu dan akan maksimumkan. Sudah agak respon dan reaksi mereka ini, buat memorandum, laporan polis, demonstrasi di ibu pejabat DAP, itu semua taktik lama, kami sudah buat apa yang patut (iaitu) tarik balik kenyataan dan buat permohonan maaf,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan peruntukan daripada pihak YTL Foundation kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. Paul di sini hari ini.
Anthony Loke sementara itu berkata, di peringkat dalaman DAP, beliau telah mengingatkan supaya semua kepemimpinan parti itu untuk sentiasa berhati-hati dalam membuat sebarang kenyataan.
“Saya sudah berikan peringatan juga kepada semua pimpinan supaya berhati-hati dalam apa sahaja kenyataan terutama melibatkan isu-isu agama. Ini merupakan peringatan berterusan daripada saya dan kami ada mekanisme dalam parti supaya perkara ini tidak berulang,” katanya lagi.-UTUSAN.