Daim, isteri tukar barisan peguam bela - Utusan Malaysia

Daim, isteri tukar barisan peguam bela

TUN DAIM ZAINUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kewangan, Tun Dr. Daim Zainuddin dan isterinya Toh Puan Na’imah Abdul Khalid telah menukar barisan peguam bela yang mewakili mereka di mahkamah.

Perubahan itu membabitkan bekas Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden yang kini seorang peguam dan seorang lagi peguam, Alex Tan.

Peguam, M. Puravalen daripada Tetuan Valen, Oh & Partners, mengesahkan perkara itu ketika dihubungi media hari ini.

“Ini merupakan isu antara anak guam dan peguam. Ia (alasan tamatkan perkhidmatan) adalah sulit dan sesuatu yang tidak beretika untuk didedah kepada sesiapa. Bagaimanapun, saya akan terus mewakili Tun (Daim) dan Toh Puan (Naimah),” katanya.

Pada 23 Januari lalu, Na’imah, 67, didakwa gagal mengisytiharkan 12 harta seperti yang dikehendaki oleh Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Disember tahun lalu.

Harta itu melibatkan dua syarikat iaitu Ilham Tower Sdn Bhd dan Ilham Baru Sdn Bhd serta dua Mercedes Benz, selain lapan hartanah membabitkan Menara Ilham dan sebuah kediaman di Bukit Tunku, di sini serta enam lagi bangunan dan lot tanah di Taman Tunku dan Bukit Tunku, di sini; Jalan Cantoment Road, Penang serta Jalan Anthinahapan, Taman Tun Dr Ismail, di sini.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda maksimum RM100,000, jika sabit kesalahan.

Pada tarikh tersebut, Mohd. Yusof, Puravalen, Md. Yunos Shariff dan Alex hadir bagi mewakili Na’Imah manakala pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Feisal Mohd Azmi, Mohamad Fadhly Mohd. Zamry dan Maziah Mohaide.

Pada 21 Disember 2023, media melaporkan SPRM menyita Menara Ilham milik keluarga itu.

Sementara itu, SPRM pada 30 Disember tahun sama mengesahkan, bekas pemimpin kanan UMNO itu disiasat berdasarkan maklumat Kertas Pandora sejak Februari 2023.

Tidak lama kemudian, empat lagi individu berkaitan dengan Daim turut dipanggil memberi keterangan.

Pada 10 Januari lalu, Daim memohon kepada Mahkamah Tinggi di sini, untuk mendapatkan kebenaran bagi mencabar tindakan SPRM menyiasat dan menyita aset-aset mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya