Cubaan edar rokok seludup bernilai RM2.6 juta gagal - Utusan Malaysia

Cubaan edar rokok seludup bernilai RM2.6 juta gagal

MOHD. ASRI Seman (berdiri, tengah) menunjukkan gambar lori bonded yang digunakan sindiket pengedaran rokok seludup untuk diedarkan di Lembah Klang dan Selatan Tanah Air dalam sidang akhbar di Wisma Kastam Sultan Ahmad Shah di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/NORHAFIZAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Cubaan seorang lelaki mengedar rokok seludup bernilai lebih RM2.6 juta gagal apabila dia ditahan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang di Kilometer 35.1 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak.

Lelaki tempatan berusia lingkungan 30an itu ditahan pukul 2 petang 15 Januari lalu ketika dalam perjalanan dari Pantai Timur ke Lembah Klang atau Utara Tanah Air.

Pengarah JKDM negeri, Mohd. Asri Seman berkata, berdasarkan maklumat orang awam, pihaknya menahan sebuah lori bonded dipercayai terlibat dengan sindiket pengedaran rokok seludup.

“Sindiket yang bergerak menggunakan lori bonded lapan tan itu berjaya dikesan hasil maklumat diterima bahagian penguatkuasaan JKDM Pahang sebelum diekori dan ditahan di lokasi terbabit.

“Hasil pemeriksaan fizikal ditempat kejadian mendapati muatan yang dibawa adalah rokok yang disyaki barang larangan import.

“Rokok putih sebanyak 3,980,000 batang dianggarkan bernilai RM363,400 dirampas membabitkan jumlah cukai dianggarkan RM2,658,640,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Kastam Sultan Ahmad Shah di sini hari ini.

Menurut Mohd. Asri, nilai keseluruhan rampasan termasuk sebuah lori dianggarkan berjumlah RM3,067,040.

Beliau memberitahu, kesemua rokok terbabit dipercayai diseludup dari negara luar melalui Kelantan untuk diedarkan di sekitar Lembah Klang dan Selatan Tanah Air.

“Kegiatan itu juga didapati bergerak aktif pada waktu puncak bagi mengaburi mata pihak berkuasa. Kes ini disyaki dilakukan oleh satu sindiket penyeludupan rokok menggunakan laluan Persekutuan Kuala Lumpur-Gua Musang sebelum melalui Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak bagi tujuan pengedaran,” jelasnya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan suspek lelaki terbabit direman selama 11 hari dan sudah dituduh di mahkamah.

“Mereka yang terlibat dalam aktiviti ini jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak kurang 10 kali ganda nilai barang atau RM100,000 (yang mana lebih tinggi) dan tidak lebih 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Menurutnya, orang ramai juga digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah dan kenderaan.

“Sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan boleh disalurkan menerusi talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat Kastam terdekat di semua negeri. Pihak JKDM memberi jaminan identiti pemberi maklumat dirahsiakan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya