KULAI: Chenta Ameena Nadrah Azizul Azuwan merupakan rakyat Johor termuda yang turut bersama-sama hadir di pekarangan Masjid Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS), di sini bagi menyaksikan detik bersejarah keberangkatan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang dinasyhurkan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-17.
Ibunya, Farrahdiana Kamarudin, 38, berkata, itu merupakan pengalaman pertama dia membawa anaknya yang baharu b erusia dua bulan keluar selepas tamat tempoh berpantang, baru-baru ini.
“Saya mahu jadikan detik bersejarah ini pengalaman manis dalam hidup anak saya. Ini kerana istiadat istimewa ini merupakan kali kedua berlaku di Johor selepas kali pertama pada tahun 1984.
“Saya akan tunjukkan gambar dan ceritakan detik ini apabila anak saya sudah besar nanti,” katanya ketika ditemui di ‘check point’ terakhir konvoi Sultan Ibrahim sebelum berlepas menuju ke Kuala Lumpur.
Chenta Ameena Nadrah merupakan antara ribuan rakyat Johor yang hadir bagi menyambut konvoi baginda.
Mereka yang mula berkumpul seawal pukul 6 pagi turut melambai dan melaungkan ‘Daulat Tuanku’ selain mengibarkan bendera Johor ketika konvoi baginda melalui kawasan tersebut. – UTUSAN