Cedera disamun empat lelaki bertopeng - Utusan Malaysia

Cedera disamun empat lelaki bertopeng

MOHD. Akmal Isfak Ahmad menunjukkan jari tangan kakaknya, Ayu Nursuria, 30, yang cedera terkena pisau digunakan penyamun dalam kejadian di Kampung Pilin, Rembau, hari ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Tindakan empat lelaki bertopeng menyamun dua buah rumah di Kampung Pilin, di sini hampir ‘memakan diri’ apabila mereka dikejar mangsa samun dan beg milik salah seorang daripada mereka yang mempunyai kad pengenalan diri dan telefon bimbit berjaya dirampas.

Mangsa samun, Mohd. Akmal Isfak Ahmad, 27, berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 5.15 pagi itu, dia mengejar penyamun berkenaan selepas menyedari beg ibunya, Rosnah Jantan, 58, dilarikan dan berhasil merampas kembali beg berkenaan setelah mengejar penyamun sejauh kira-kira 100 meter.

Menurutnya, selain dua beg maknya, terdapat sebuah beg dipercayai milik suspek dan juga sebuah lagi beg mangsa samun rumah sebelumnya yang terletak di perkampungan yang sama.

“Saya kejar dan abang ipar saya juga menyusul di belakang saya. Apabila nampak seorang penyamun mahu panjat pagar masjid saya rentap tarik ke bawah dan rampas beg. Berlaku pergelutan dan penyamun menggigit jari saya dan saya pula gigit bahu penyamun itu.

“Namun saya lari menyelamatkan diri apabila penyamun itu menjerit untuk saya ditembak, apabila pulang ke rumah saya dapati kakak saya, Ayu Nursuria, 30, pula cedera di jari tangan terkena pisau digunakan penyamun,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Pilin di sini hari ini.

Jelas Mohd. Akmal lagi, ketika kejadian terdapat empat lagi ahli keluarganya termasuk anak saudaranya berusia setahun berada di rumah.

Katanya, dia yang tidur di bilik hanya tersedar sebaik penyamun mengacukan pisau di lehernya sementara ibunya pula sudah terbaring di depan pintu bilik juga diacu pisau di bahagian leher oleh seorang penyamun lain.

Dalam kejadian sebelumnya, sebuah rumah yang dihuni enam sekeluarga turut disamun sekitar pukul 3.30 pagi.

Zakaria Mohamed Yunus, 40, berkata, dia tidak menyedari rumahnya dimasuki penyamun yang masuk dari tingkap di bilik berasingan.

“Saya tersedar apabila pisau sudah di hadapan muka saya, penyamun sepak kaki saya suruh bangun. Saya, isteri dan dua anak yang tidur di bilik mereka diikat, dua lagi anak saya nyenyak dibiarkan tidur di luar.

“Lama juga mereka di rumah saya, penyamun ini menggunakan dialek Indonesia minta duit dan barang kemas. Mereka marah-marah kerana saya tiada barang berharga untuk diserahkan kepada mereka,” katanya yang turut memberitahu penyamun tersebut turut menggeledah peti ais rumahnya dan memakan ikan masin serta durian yang mahu dibuat tempoyak.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Hazri Mohamad mengesahkan kejadian berkenaan serta menyatakan siasatan lanjut masih dijalankan selain sedang memburu suspek yang terlibat dalam kejadian samun tersebut.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya