KOTA BHARU: Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) di negeri yang terkandas banjir boleh menduduki peperiksaan di mana-mana pusat peperiksaan berhampiran dengan mereka.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Datuk Mohd. Zamri Abdul Aziz berkata, bagaimanapun calon peperiksaan awam itu perlu memaklumkan perkara tersebut kepada guru.
“Ia bagi membolehkan maklumat berkaitan dipanjangkan kepada Penolong Pegawai Peperiksaan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Sektor Pentaksiran dan Peperiksaan (SPP) JPN bagi memastikan bekalan kertas peperiksaan mencukupi.
“Selain itu, kita turut menyediakan sebanyak tujuh pusat peperiksaan alternatif sebagai persediaan menghadapi kemungkinan berlaku bencana banjir sepanjang SPM dan STPM itu berlangsung,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menyantuni calon-calon SPM di SMK Dato’ Ahmad Maher, di sini hari ini.
Mohd. Zamri memberitahu, enam daripada pusat peperiksaan alternatif ditetapkan di Pasir Mas dengan dua daripadanya melibatkan peperiksaan SPM dan STPM manakala satu di Jajahan Tumpat.
Katanya, enam pusat alternatif di Pasir Mas adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang, SMK Gual Periok, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Lati, Sekolah Kebangsaan (SK) Banggol Chicha dan SK Meranti.
“SK Meranti akan menempatkan dua pusat peperiksaan alternatif manakala di Tumpat, pusatnya adalah SMK Chabang Empat.
“Bagi pusat peperiksaan yang mempunyai asrama, calon-calon terjejas banjir akan ditempatkan di asrama manakala calon-calon di sekolah yang tidak mempunyai asrama akan di tempatkan di pusat peperiksaan alternatif,” ujarnya.
Mohd. Zamri berkata, pihaknya telah mengarahkan Pengurus Peperiksaan Sekolah, iaitu pengetua untuk memaklumkan kepada calon-calon agar hadir ke pusat-pusat peperiksaan ditetapkan jika berlaku banjir,”
Katanya, seramai 26,664 calon SPM 2023 menduduki peperiksaan bertulis bermula hari ini termasuk enam calon berkeperluan khas (CBK) serta seorang calon braille dan akan dipantau oleh seramai 2,391 petugas peperiksaan.
“Bagi STPM pula kita ada 60 pusat peperiksaan di seluruh Kelantan melibatkan seramai 3,867 calon STPM Ulangan 1 dan 4,655 calon STPM semester 1 2024,” katanya.