Cadangan Ahmad Zahid tidak ikut semangat demokrasi berparlimen - Utusan Malaysia

Cadangan Ahmad Zahid tidak ikut semangat demokrasi berparlimen

P. WAYTHA MOORTHY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Cadangan mewujudkan rang undang-undang (RUU) untuk mengekalkan sesebuah kerajaan mentadbir negara sehingga tamat penggal oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi disifatkan sebagai tidak mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Presiden Parti Kemajuan Malaysia (MAP), P. Waytha Moorthy berkata, walaupun niatnya baik, namun cadangan RUU terbabit tidak mungkin mendapat pengesahan Peguam Negara kerana bertentangan Perlembagaan Persekutuan.

“Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan keadaan di mana jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka, melainkan atas permintaannya Yang di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen, Perdana Menteri hendaklah mengemukakan peletakan jawatan Jemaah Menteri.

“Oleh itu penarikan balik sokongan untuk Perdana Menteri dan pertukaran kerajaan dalam tempoh pertengahan adalah sebahagian daripada proses demokrasi mesti diterima oleh kerajaan semasa.

“Adalah penting bagi mereka untuk memastikan kerajaan mereka utuh dengan menepati janji pilihan raya. Apabila rakyat bersama kerajaan, tidak mungkin ahli Parlimen berani beralih taat setia,” katanya dalam kenyatan di sini hari ini.

Sabtu lalu, Ahmad Zahid mencadangkan supaya satu RUU diwujudkan bagi mengekalkan pentadbiran kerajaan sehingga tamat penggal.

Cadangan itu susulan dakwaan terdapat gerakan menumbangkan pemerintahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Langkah Dubai atau akuan bersumpah (SD).

Waytha Moorthy dalam pada itu berkata, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki juga mungkin tidak tepat apabila mengatakan bahawa pindaan Perlembagaan parti itu tahun lalu menghalang ahli Parlimennya mengingkari keputusan parti berkenaan termasuk memberi sokongan kepada seseorang untuk jawatan perdana menteri.

Jelasnya, Asyraf Wajdi dilaporkan berkata bahawa penamatan keahlian akan menggunakan undang-undang anti-lompat parti, membolehkan kerusi itu diisytiharkan kosong dan pilihan raya diadakan.

“Perkara 49A (2) (c) Perlembagaan Persekutuan memastikan seseorang ahli Dewan Rakyat bahawa dia tidak akan berhenti menjadi ahli Dewan itu mengikut Perkara ini jika dia dipecat daripada partinya.

“Pindaan UMNO kepada Fasal 20.11.1 Perlembagaannya hanya bercakap tentang ahlinya kehilangan keahlian secara automatik jika, setelah dipilih sebagai ahli parlimen, ahli selepas itu menyertai parti atau gabungan lain atau memilih untuk menjadi ahli parlimen Bebas.

“Kata kunci dalam Perlembagaan UMNO adalah “menyertai”. Fasal ini tidak menghalang ahli parlimen UMNO menyokong calon Perdana Menteri lain ataupun tidak mahu mengundi mengikut ketetapan parti. Perlembagaan Persekutuan jelas dalam hal ini,” katanya.

Menurutnya, umum dapat melihat bahawa tindakan empat ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) beralih taat setia dengan menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mencetuskan pilihan raya kecil (PRK) dan Yang Dipertua Dewan Rakyat tidak mengisytiharkan kekosongan kerusi mereka berdasarkan Perkara 49A. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya