PETALING JAYA: Pandangan berhubung keperluan rumah pelacuran bagi warga asing bekerja di negara ini boleh dianggap membantu perkara maksiat yang dilarang dalam Islam.
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam kenyataannya memaklumkan, cadangan itu yang dikatakan bertujuan mengelak daripada berlakunya kes rogol terhadap golongan wanita tempatan merupakan satu pandangan tersasar kerana menggalakkan kepada perkara maksiat.
Katanya, pusat pelacuran menggalakkan zina yang merupakan suatu perbuatan tercela dan boleh mendatangkan kerosakan kepada institusi kekeluargaan dan juga negara.
“Syariat Islam diturunkan untuk menjaga al-dharuriyyat al-khamsah iaitu agama, nyawa, keturunan, harta dan akal. Perbuatan zina boleh merosakkan objektif syarak dalam memelihara maruah dan keturunan serta agama seseorang. Pelacuran adalah jelas haram dan kerosakkan yang terhasil daripadanya serta melanggar kemuliaan golongan wanita.
“Oleh itu, pandangan yang mengatakan keperluan rumah pelacuran bagi warga asing yang bekerja di Malaysia dengan tujuan mengelakkan daripada berlakunya kes rogol terhadap golongan wanita tempatan adalah pandangan tersasar kerana ia menggalakkan kepada perkara maksiat,” katanya hari ini.
Semalam, pelakon Datuk Rosyam Nor melontarkan pandangan peribadi beliau terhadap keperluan rumah pelacuran bagi warga asing yang bekerja di Malaysia dengan tujuan mengelakkan daripada berlakunya kes rogol terhadap golongan wanita tempatan.
Menerusi satu podcast bertajuk Hitam Putih Kehidupan di akaun Tiktoknya, pelakon itu berkata, lebih kurang tiga juta pendatang asing datang bekerja di negara kita dan rata-ratanya kaum lelaki.
Dalam pada itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkata, konteks perundangan negara boleh dirujuk Akta Perlindungan Wanita dan Gadis 1973 (Akta 106) yang melarang mana-mana individu mempergunakan wanita bagi tujuan pelacuran dan sekiranya didapati bersalah, seseorang yang terbabit boleh dikenakan tindakan undang-undang.
“Islam memuliakan wanita, mengangkat wanita pada kedudukan yang tinggi. Bahkan memelihara maruah wanita daripada dinodai.
“Selain itu, pandangan tersebut juga bercanggah dengan prinsip pembawakan Malaysia Madani iaitu Hormat bermaksud hormat diletakkan di atas hak asasi manusia dan maruah. Sebagai rakyat Malaysia perlu untuk menghayati prinsip Rukun Negara iaitu Kesopanan dan Kesusilaan,” katanya. – UTUSAN