KOTA BHARU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan mendedahkan bungkusan ganja ala belacan dan penghantaran menggunakan perkhidmatan kurier menjadi modus operandi terbaru dalam pengedaran dadah di negeri ini.
Pengarahnya Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, modus operandi dibongkar selepas pihaknya merampas dadah tersebut hasil pemeriksaan disebuah premis kurier di Rantau Panjang pada 10 Januari lalu.
Menurutnya, pada masa sama JKDM Kelantan turut merampas 202 biji pil methamphetamine hasil pemeriksaan itu.
“Hasil siasatan yang dijalankan mendapati modus operandi ini merupakan taktik terbaharu yang digunakan oleh pengedar dadah dengan tujuan mengaburi mata pihak berkuasa.
“Ini merupakan rampasan pertama kita untuk tahun ini melibatkan pengedaran dadah menggunakan perkhidmatan kurier. Ketulan ganja mampat yang dirampas itu seberat 1.18 kilogram (Kg),” katanya semasa sidang media di Ibu Pejabat JDKM Kelantan di sini hari ini.
Wan Jamal Abdul Salam memberitahu, siasatan turut mendapati individu terlibat menggunakan nama dan alamat sama sebagai pengirim serta penerima.
Katanya, siasatan lanjut berkait dengan rampasan itu masih dijalankan ketika ini.
“Kita percaya mereka (pengedar) menggunakan ‘runner’ untuk membawa dan mengirimkan barangan itu melalui perkhidmatan kurier.
“Terdahulu pada 1 Januari lalu, kita turut menggagalkan cubaan menyeludup ketulan ganja mampat seberat 1.49 kg dan 168 bijil pil methamphetamine,” ujarnya.
Wan Abdul Jamal Salam berkata, selain dibungkus seperti belancan pengedar dadah turut menggunakan kotak kosmetik bagi mengaburi mata pihak berkuasa.-UTUSAN