PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka dua kertas siasatan terhadap dua individu yang membuat kenyataan berkaitan isu Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Menurut beliau, siasatan masih dijalankan dan orang ramai dinasihatkan tidak membuat spekulasi sehingga mengganggu siasatan.
“Kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian D5, Bukit Aman.
“PDRM turut mengingatkan orang ramai agar cakna dan prihatin terhadap isu-isu sensitif terutamanya melibatkan aspek keselamatan serta kedaulatan negara,” kata beliau.
Pada 30 Disember lalu, Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham memohon maaf atas cadangannya agar pakar perlembagaan dalam kalangan bukan Islam dilantik dalam Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-Undang Islam.
Ahli Parlimen DAP itu berkata, beliau langsung tidak berniat masuk campur dalam hal ehwal agama Islam ketika membuat cadangan itu.
Beliau mendakwa, tidak mengetahui bahawa jawatankuasa khas itu sebenarnya dibentuk oleh MKI yang dipengerusikan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Susulan itu, Sultan Sharafuddin selaku Pengerusi MKI bertitah mengingatkan rakyat khususnya yang bukan beragama Islam supaya menghormati dan tidak mencampuri urusan berkaitan hal ehwal agama Islam di negara ini.- UTUSAN