Bicara Ebit Lew: Ada mesej perbualan dipadam - Utusan Malaysia

Bicara Ebit Lew: Ada mesej perbualan dipadam

EBIT Lew semasa menghadiri perbicaraan di Mahkamah Majistret di Tenom hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TENOM: Saksi ketujuh perbicaraan kes gangguan seksual Ebit Lew iaitu  Asisten Superitenden Latifah Abdul Aziz memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak mengetahui sekiranya ada mesej perbualan antara tertuduh  dan pengadu yang telah dipadam.

Juruanalisis Kanan Siasatan Audio Video PDRM itu berkata, analisis yang dilakukan tidak dapat mengesan jika ada mesej perbualan yang telah dipadam.

Namun, berdasarkan laporan analisis yang disediakan olehnya, beliau tidak menolak kemungkinan mesej perbualan dalam aplikasi WhatsApp boleh dipadam.

“Bagi perbualan mesej yang telah dipadam menerusi aplikasi WhatsApp daripada Samsung A31 (milik mangsa) tidak berjaya dikeluarkan kerana aplikasi WhatsApp adalah satu platform dalam sebuah telefon bimbit yang tidak simpan data dalam telefon tersebut.

“Oleh itu, sebarang mesej perbualan yang telah dipadam, data berkenaan tidak boleh diperoleh semula,” katanya semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad di Mahkamah Majistret, sini hari ini.

Menurut Latifah, beliau juga tidak mengetahui  mengenai kes yang disiasat oleh pegawai penyiasat secara keseluruhan jadi, beliau tidak pasti sekiranya ada kekurangan dalam perbualan antara tertuduh dan pengadu.

Katanya lagi, beliau tidak pasti kekurangan dalam perbualan itu adalah penting terhadap kes yang sedang disiasat oleh pegawai penyiasat.

Malah, berdasarkan gambar tangkap layar kandungan perbualan daripada aplikasi WhatsApp bertarikh 7 Ogos 2021, beliau setuju ada mesej yang mungkin dipadam tetapi, beliau tidak dapat pastikan.

Saksi memberitahu mahkamah, mesej perbualan yang telah dipadam daripada aplikasi WhatsApp tidak dapat dikeluarkan oleh sistem forensik PDRM pada masa itu.

Latifah menjelaskan, beliau tidak setuju apabila dikatakan beliau hanya melakukan pemerhatian dan bukannya melakukan analisis forensik.

“Ayat dalam laporan analisis saya di bahagian hasil analisis menyatakan pemerhatian yang dijalankan terhadap hasil analisis video dipercayai berunsur lucah adalah terkandung dalam barang kes.

FORENSIK

“Saya telah menjalankan analisis secara forensik terhadap barang kes tersebut dan pemerhatian yang dijalankan terhadap hasil analisis bagi mengeluarkan data dan maklumat berkaitan dengan permohonan pegawai penyiasat,” katanya.

Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew, 38, berdepan 11 pertuduhan gangguan seksual iaitu membuat hantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang wanita melalui aplikasi WhatsApp yang didakwa berlaku di daerah Tenom antara 29 Mac hingga 18 Jun 2021.

Atas kesalahan itu, Ebit didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan.

Perbicaraan dilakukan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani dan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria, Nor Azizah Mohamad dan Analia Kamaruddin manakala, Ebit diwakili peguam Datuk Ram Singh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN