JOHOR BAHRU: Ahli keluarga kepada pelakon dan pelawak, Hamdan Ramli, 55, redha dengan pemergian Allahyarham kerana mahu beliau berehat setelah lama terlibat dalam industri hiburan tanah air.
Anak sulung Allahyarham, Muhamad Zeyreen Misha, 31, memberitahu, dia membuat keputusan itu selaku ketua keluarga baharu selepas ayahnya menghembuskan nafas terakhir pada pukul 12.50 tengah hari, di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini hari ini.
Katanya, ayahnya banyak meninggalkan pesan bukan sahaja kepada ahli keluarga, tetapi juga kepada rakan-rakan termasuklah tentang kematian.
“Babah memang banyak meninggalkan pesanan, kawan-kawan dia cakap dia penceramah bebas, pesanan terakhir dia kepada adik beradik, keluarga dan kawan-kawan adalah dengan berkongsi bacaan surah bagi memudahkan urusan itu (kematian dan masuk syurga).
“Saya selaku ketua keluarga yang baharu mewakili ahli keluarga lain buat keputusan biarlah babah berehat terus, biar dia rehat dan ahli keluarga akan jumpa semula di alam lain nanti,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik HSA Johor Bahru, di sini.
Tambah Muhamad Zeyreen Misha lagi, jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Abu Ubaidah, Taman Perpaduan, Perak untuk disembahyangkan dan bagi memberi peluang kepada ahli keluarga dan rakan-rakan memberi penghormatan terakhir.
“Jenazah babah kemudian akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tambun, malam ini juga,” ujarnya.
Sementara itu, Muhamad Zeyreen Misha turut memberitahu, dia dan adik beradiknya turut mempunyai minat untuk berkecimpung dalam bidang seni, namun perkara itu bergantung kepada peluang.
“Soal meneruskan legasi babah, minat itu memang ada cuma belum ada masa untuk ditonjolkan, jika ada rezeki InshaAllah akan diperluas. Tetapi apapun kami akan tanya mak dahulu, jika dia luluskan baharu kami teruskan,” jelasnya.
Allahyarham Hamdan meninggalkan isteri, Norhamalini Ahmed, 54, serta empat orang anak iaitu Muhamad Zeyreen Misha, 31; Muhamad Nazreen Aiman, 28; Muhamad Syazreen Haqem, 25, dan Nur Natasya Umairah, 21.
Sementara itu, anak ketiga Allahyarham, Muhamad Syazreen Haqem, pula memberitahu, ayah mereka turut meninggalkan pesanan kepada anak-anak untuk menjaga ibu mereka.
“Babah ada pesan supaya jaga ibu seperti mana dia menjaga isterinya. Waktu babah pesan seperti itu, saya dan adik beradik lain berada di sisinya,” jelasnya.