KLUANG:;Seorang wanita warga emas yang tinggal di Kampung Paya di Kluang terpaksa membiarkan sebahagian rumahnya bersalut lumpur selepas ditenggelami banjir baru-baru ini kerana tidak larat untuk membasuhnya.
Bainah Ahmad, 86, yang hidup sebatang kara tidak dapat membersihkan lantai yang dipenuhi lumpur itu, menyebabkannya terpaksa menunggu jika ada pihak tampil untuk membantu.
Selain lantai, banyak peralatan dapur serta pakaian turut terendam dalam air banjir yang naik secara mendadak sehingga paras dada pada 8 Januari lalu.
“Bolehlah kemas sikit-sikit mana yang mampu diangkat, jika tidak boleh, mak cik biarkan sahaja, mana tau ada orang sudi membantu membersihkan.
“Jika ada, syukur sangat-sangat kerana jika lambat akan menyebabkan keseluruhan rumah berbau lumpur dan tidak selesa untuk diduduki,” katanya ditemui sebelum kedatangan rombongan kira-kira 150 ahli Pemuda UMNO yang diketuai Ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh membantu membersihkan kediaman warga emas tersebut.
Mengetahui kedatangan rombongan itu, Bainah bersyukur kerana hasratnya membersihkan rumah tertunai dan tidak lagi perlu berpenat lelah melakukannya.
Dalam pada itu, Dr. Muhamad Akmal berkata, Pemuda UMNO bersama Pemuda UMNO Johor berganding bahu melaksanakan Misi Bantuan Banjir Pemuda UMNO Malaysia di Johor yang terkesan banjir sebelum ini.
Selain membantu rumah-rumah terpilih untuk dibersihkan, mereka turut menyampaikan sumbangan termasuk katil, tilam dan bantal untuk diagih-agihkan kepada mangsa bencana tersebut.
“Hasil inisiatif Pemuda UMNO Kluang, mak cik Bainah ini akan diusahakan satu kediaman baharu yang lebih selamat kerana rumah diduduki warga emas itu sudah tidak selamat didiami,” katanya.
Yang turut serta dalam misi tersebut ialah Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros. – UTUSAN