BATU PAHAT: “Selamat tinggal Bella, aku sayang sangat kau, aku akan tuntut keadilan atas pemergian kau ini, sepatutnya kita masih bersama sama kan.”
Demikian luahan Norhisham Samsusah, 36, kakak Mira Sharmila, 32, atau lebih dikenali sebagai Bella dalam laman sosial miliknya apabila menerima pengesahan bahawa sampel DNA rangka manusia yang ditemukan di sebuah rumah terbiar di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah, dekat sini, Jumaat lalu adalah milik adiknya itu.
Menurutnya, kematian Bella adalah satu kehilangan paling berat untuk dihadapi keluarganya.
“Dukacita saya maklumkan ujian DNA mengesahkan rangka itu milik Bella, berat dugaan kami sekeluarga,”tulisnya.
Menurutnya, jenazah Bella akan dituntut di Hospital Sultan Ismail (HSI) pagi esok sebelum dibawa pulang ke Batu Pahat.
“Jenazah akan disembahyangkan di Masjid Datuk Bentara, Batu Pahat sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Banang.
“Mohon semua kenalan, kawan-kawan dan semua warga Batu Pahat untuk datang menyertai solat buat kali terakhir untuk Bella,” catatnya.
Kehilangan ibu tunggal dua anak itu pada 14 Disember lalu mendapat perhatian ramai pihak. – UTUSAN