Bersatu mahu ambil tindakan ke atas wakil rakyat khianat parti - Utusan Malaysia

Bersatu mahu ambil tindakan ke atas wakil rakyat khianat parti

Datuk Seri Hamzah Zainuddin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana wakil rakyatnya yang mengkhianati parti dengan bermaksud untuk mengosongkan kerusi diwakili bagi membolehkan Pilihan Raya Kecil (PRK) dilaksanakan.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, Bersatu bersedia berdepan dengan sebarang kemungkinan termasuk PRK.

“Selaras dengan ketegasan itu, Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) bersetuju meminda Perkara 10 Perlembagaan Bersatu bagi menghalang insiden sama daripada berulang di masa hadapan.

“Dalam menyusun langkah konkrit ke hadapan, MPT juga sebulat suara meneruskan perjuangan di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden, bukan sahaja dalam konteks pemerkasaan parti secara menyeluruh, tetapi untuk tampil lebih kredibel, tegas dan berani dalam melawan fitnah jahat serta kezaliman kerajaan pimpinan (Datuk Seri) Anwar Ibrahim,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat khas MPT Bersatu yang dipengerusikan oleh Presidennya,Muhyiddin semalam.

Ia susulan tindakan enam Ahli Parlimen Bersatu mengisytiharkan sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

AHLI PARLIMEN

Mereka ialah  Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz; Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik; Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd. Azizi Abu Naim; Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid; Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Tanjung Karang, Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi.

Pada masa sama, Hamzah turut mengumumkan perubahan dalam kepimpinan Bersatu peringkat negeri apabila menamakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Ketua Badan Pimpinan Bersatu Selangor.

Selain itu, beliau berkata, ADUN Labu, Mohamad Hanifah Abu Bakar turut dilantik sebagai Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sembilan bagi menggantikan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

“Pada masa sama, beberapa langkah bagi membugarkan Bersatu juga telah diambil antaranya dengan melantik tiga ahli MPT baharu iaitu Ahli Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin; ADUN Taman Medan, Dr. Afif Bahardin dan Penolong Setiausaha Srikandi Malaysia, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi,” katanya.

Sementara itu, Hamzah berkata, dalam mesyuarat sama, Bersatu turut membincangkan mengenai situasi terkini ekonomi negara yang suram dan beban sara hidup rakyat akibat masalah harga barang melambung tinggi, nilai ringgit berterusan merudum serta ditambah dengan kenaikan bil utiliti.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya