Berkhemah nikmati musim angin timur di Perlis

Berkhemah nikmati musim angin timur di Perlis

ORANG ramai mengambil kesempatan menikmati suasana dingin dan sejuk sempena musim angin timur dengan berkhemah di santuari ikan air tawar di Tasik Timah Tasoh, Padang Besar, Perlis baru-baru ini.- UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Kedatangan musim angin timur sangat dinantikan rakyat negeri ini yang mahu menikmati cuaca dingin khususnya sebelah malam serta awal pagi.

Kedinginan tiupan angin timur tersebut sudah mula dirasai sejak awal bulan ini dengan pelbagai aktiviti sudah pastinya rancak diadakan bagi menikmati musim berkenaan.

Antara yang menarik perhatian adalah seperti aktiviti berkhemah sambil menikmati suasana dingin dan berangin terutama pada sebelah petang dan awal pagi sambil menikmati keindahan alam semula jadi.

Lokasi tapak perkhemahan yang menjadi tumpuan antaranya di santuari ikan air tawar di Tasik Timah Tasoh di sini yang menyajikan suasana cukup menyenangkan.

Seorang pengunjung, Zalina Dahman,45, berkata, dia bersama rakan baiknya mengambil peluang berkhemah di sini bagi menikmati suasana musim angin timur ketika ini.

Katanya, suasana sejuk tersebut yang sudah mula dirasai sekali gus menandakan musim angin timur sudah kembali di negeri ini.

Katanya, pengunjung agak ramai yang datang berkhemah khususnya pada hari minggu sambil menikmati keindahan di kawasan tasik itu.

“Berkhemah sambil menikmati musim angin timur ini sangat memberi keterujaan dan setiap tahun pastinya kita menantikan musim angin timur yang memberi suasana cukup nyaman.

“Sememangnya saya sangat menantikan musim angin timur ini kerana pada waktu inilah kita dapat menikmati suasana yang cukup nyaman dan sejuk selepas selalunya rakyat Perlis berdepan cuaca panas lazimnya sehingga mencecah 36 hingga 40 darjah Celsius.

“Setiap hujung tahun sehingga Januari, kita lazimnya menikmati cuaca sejuk dan nyaman ini. Selepas berpanas, musim sejuk dan tiupan nyaman angin timur amat dinantikan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Seorang penduduk, Azizi Abu Bakar,40, pula berkata, lazimnya sempena musim angin timur pelbagai aktiviti diadakan seperti menerbangkan layang-layang dan sebagainya.
“Pada sebelah malam pula, kita menikmati suasana sejuk seolah-olah seperti berada di Cameron Highlands. Itulah antara keistimewaan Perlis yang mempunyai musim-musim tertentu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya