SERAMAI sembilan bakal graduan Universiti Sains Malaysia (USM) mengambil kesempatan bergambar kenang-kenangan di atas puncak Gunung Baling dengan memakai jubah konvokesyen.
Muhammad Faizul Bin Mohd Noor, 24, berkata, ini merupakan pengalaman paling indah dan manis selepas empat tahun dia dan rakan-rakannya berhempas pulas untuk meraih kejayaan yang cemerlang ketika belajar.
“Objektif utama saya dan rakan-rakan naik Gunung Baling dan memakai jubah sebab hendak buat ‘preconvo’ di atas puncak gunung untuk diabadikan sebagai kenangan yang amat indah untuk dikenang.”
“Kami rasa pandangan dari atas gunung yang cantik ditambah dengan jubah preconvo memang akan jadi kenangan yang paling mahal bagi kami,” kata Muhammad Faizul.
Menurutnya,ia menggambarkan kejayaan tertinggi yang pernah mereka capai setelah pelbagai cabaran dan onak duri ditempuhi, penuh dengan pengorban wang ringgit daripada ibu bapa, air mata dan keringat pelajar itu sendiri yang terus berusaha hingga mencapai kejayaan yang diingini.