KUALA LUMPUR: Peguam Rosli Dahlan memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar tindakan polis yang didakwa menahannya secara salah dan membekukan beberapa akaun bank miliknya manakala Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang menyekat perjalanannya.
Permohonan tersebut difailkan pada 29 Disember lalu dan kes ditetapkan untuk pendengaran permohonan kebenaran bagi memulakan semakan tersebut pada 19 Februari ini.
Mengikut dokumen diperoleh media, Rosli selaku pemohon menamakan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain @ Abd. Rasid; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf dan Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), Datuk Muhammad Hasbullah Ali selaku responden pertama hingga ketiga.
Turut dinamakan sebagai responden keempat hingga kesembilan ialah Timbalan Ketua AMLA, Asisten Komisioner, ACP Foo Wei Min dan pegawai penyiasat, Superintenden Mohd. Faizal Mohd. Atan; Ketua Pengarah JIM, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, PDRM, JIM dan Kerajaan Malaysia.
Berdasarkan afidavit difailkan, Rosli mendakwa, beliau ditahan polis pada 26 Oktober 2023 bersabit laporan polis yang dibuat oleh syarikat penerbangan AirAsia terhadap syarikat pelaburan, i-Serve Technology and Vacations Sdn Bhd (i-Serve).
Kata beliau, walaupun pernah mengendalikan beberapa kes membabit i-Serve, Rosli mendakwa beliau tidak pernah memegang sebarang jawatan, bukan pemegang saham atau menjadi pekerja syarikat terbabit.
PEMBEKUAN
Ketika hadir untuk dirakam percakapan pada 3 November 2023, Rosli telah diserahkan dengan 8 perintah pembekuan akaun-akaun bank miliknya manakala pada 18 November lalu, peguam terbabit hanya menyedari terdapat perintah sekatan perjalanan terhadapnya apabila hendak ke Singapura.
Dakwa Rosli, tindakan kesemua defendan menahan, membekukan akaun dan mengenakan sekatan perjalananan terhadapnya adalah satu penyalahgunaan kuasa, menganiaya dan memalukan dirinya.
Sehubungan itu, peguam terbabit antara lain memohon perintah mandamus (mendesak) terhadap responden pertama hingga kelima untuk menyahbekukan tujuh akaun Maybank Berhad dan Maybank Islamic, 12 jenis akaun Amanah Saham dan tiga akaun CIMB miliknya.
Rosli turut memohon agar perintah mandamus bagi membatalkan perintah sekatan perjalanan yang dikenakan terhadapnya oleh responden keenam.
Pemohon turut menuntut deklarasi bahawa tangkapan, tahanan dan reman yang dikenakan terhadapnya adalah tidak sah dan terbatal, bertentangan dengan undang-undang dan dilakukan dengan niat jahat (mala fide).
Rosli turut memohon perintah interim (sementara) antaranya kebenaran untuk menggunakan RM50,000 sebulan (atau lebih daripada jumlah tersebut sekiranya diperlukan) bagi pembayaran hutang, perbelanjaan sara hidup pemohon, keluarga dan pekerja-pekerjanya.
Beliau turut memohon perintah untuk mengeluarkan RM1.8 juta untuk pembayaran zakat kepada Lembaga Zakat Selangor bagi tahun 2023.
Turut dimohon ialah kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.- UTUSAN