JOHOR BAHRU: Seorang bekas Pengerusi Koperasi Peneroka Felda Selancar 3, Pahang mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas 15 pertuduhan memalsukan 15 keping cek milik koperasi berkenaan berjumlah RM34,450, lima tahun lalu.
Tertuduh, Saad Rajali, 66, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Noraida Sulaiman.
Berdasar kertas pertuduhan, Saad yang ketika itu menjadi pengerusi koperasi tersebut didakwa tidak jujur menggunakan cek milik Koperasi Peneroka Felda Selancar 3 Pahang Berhad atas nama lapan peneroka berlainan yang didakwa adalah palsu.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah bank di Segamat dengan nilai RM600 sehingga RM5,000 bermula 27 September 2019 hingga 18 Oktober 2021.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau dengan denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rifah Izzati Abdul Mutalif, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Mahkamah menetapkan RM14,000 sebagai jaminan terhadap tertuduh dan perlu melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Segamat.
Mahkamah turut menetapkan 25 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan lantikan peguam. – UTUSAN