Bekas Ketua Hakim Negara beralih karier sebagai peguam - Utusan Malaysia

Bekas Ketua Hakim Negara beralih karier sebagai peguam

Md. Raus Sharif disarungkan jubah iaitu tanda penerimaan masuk sebagai peguam bela dan peguam cara Mahkamah Tinggi Malaya di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. - UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Hakim Negara ke-14, Tun Dr. Md. Raus Sharif hari ini melengkapkan perjalanan karier dalam dunia kehakiman dan perundangan dengan beralih sebagai peguam selepas 42 tahun berkhidmat dalam kerajaan.

Beliau yang meletak jawatan enam tahun lalu, diterima masuk sebagai peguam bela dan peguam cara Mahkamah Tinggi Malaya di hadapan Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, di sini.

Selain Allahyarham Tun Salleh Abas, Md. Raus yang bakal menyambut ulang tahun ke-73 bulan depan, merupakan bekas Ketua Hakim Negara kedua yang berkhidmat sebagai peguam selepas meninggalkan `kerusi’ hakim.

“Kesempurnaan (completeness) dan saya seorang `single handicapper’,” kata Md. Raus ringkas ketika ditemui pihak media selepas upacara itu.

Hakim Wan Ahmad Farid dalam ucapan ringkasnya berkata, beliau amat berbesar hati menerima masuk seorang hakim tertinggi yang berpengalaman luas serta tidak asing kepada badan perundangan dan kehakiman negara.

Beliau berpuas hati, kertas kausa pempetisyen untuk diterima masuk sebagai peguam bela dan peguam cara adalah sempurna dan teratur dan beliau layak beramal sebagai peguam.

Sambil mengimbas kembali detik-detik awal perkenalan pada 2015, beliau berkata, Md. Raus yang ketika itu berjawatan Presiden Mahkamah Rayuan merupakan salah seorang jurulatih sewaktu sesi induksi untuk pesuruhjaya kehakiman baharu.

“Sukar bagi saya memberi kata-kata nasihat dan perangsang kepada Tun sebagaimana yang selalu saya titipkan kepada peguam bela dan peguam cara baharu.

“Seolah-olah seorang penuntut memberi syarahan kepada mentor berhubung topik yang jelas beliau lebih pakar. Itu `bunuh diri’ namanya,” seloroh Hakim Wan Ahmad Farid sambil disambut gelak ketawa hadirin.

Terdahulu, peguam Datuk Mohd. Hafarizam Harun berkata, beliau tidak menyangka diberi penghormatan mengusulkan penerimaan masuk Md. Raus sebagai peguam bela dan peguam cara pada majlis itu.

Beliau yakin, bekas Ketua Hakim Negara itu bakal meneruskan pencapaian dan mengembangkan lagi sistem perundangan dan jurisprudens dari meja peguam.

Mohd. Hafarizam menyifatkan, ketegasan Md. Raus dalam menyampaikan penghakimannya dapat dilihat dalam kes krisis keperlembagaan di Perak iaitu kes Datuk Dr. Zambry Abd. Kadir terhadap Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin pada 2009.

Kata beliau, krisis keperlembagaan itu menjadi duluan dan batu asas demokrasi di negara ini apabila susulan daripada itu, banyak kerajaan dibentuk melalui sokongan bertulis ahli-ahli parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

“Pempetisyen berpengalaman luas sebagai timbalan pendakwa raya, peguam kanan persekutuan, penasihat undang-undang, majistret dan hakim Mahkamah Sesyen,” kata Mohd. Hafarizam.

Anak kelahiran Rembau, Negeri Sembilan itu pernah berjawatan sebagai penasihat undang-undang bagi empat kementerian termasuk Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pertahanan.

BERTUGAS

Md. Raus juga pernah bertugas sebagai Peguam Cara Perbendaharaan sebelum dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman pada 1 November 1994.

Pada upacara itu, Peguam Cara Negara II, Datuk Suzana Atan yang mewakili Peguam Negara serta S. Suhirthamalar yang hadir bagai pihak Majlis Peguam, tidak membantah usul penerimaan masuk Md. Raus.

Md. Raus kemudian disarungkan jubah oleh bekas Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin.

Beliau yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang Universiti Malaya memegang jawatan Ketua Hakim Negara selama 15 bulan bermula pada April 2017 dan meletak jawatan berkuat kuasa 31 Julai 2018.

Md. Raus sebelum itu berjawatan Presiden Mahkamah Rayuan selama lebih lima tahun bermula September 2011 hingga April 2017.

Pada 2017, tempoh jawatan sebagai Ketua Hakim Negara dilanjutkan meskipun beliau mencapai umur persaraan mandatori hakim 66 tahun.

Md. Raus memulakan karier dalam badan kehakiman sebagai majistret pada tahun 1976 sebelum dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman pada 1994.

Pada tahun 1996, beliau dilantik sebagai hakim Mahkamah Tinggi dan dinaikkan pangkat sebagai hakim Mahkamah Rayuan, 10 tahun kemudian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN