Bekas kapten kapal dituduh seleweng diesel RM100,000

Bekas kapten kapal dituduh seleweng diesel RM100,000

AZLI Mohd. Noor (tengah) yang dituduh pecah amanah dibawa masuk ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu di Kuala Terengganu, semalam. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang bekas kapten kapal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas tiga tuduhan pecah amanah dengan menyeleweng sebanyak 61,000 liter minyak diesel bernilai hampir RM100,000 pada tahun lalu.

Tertuduh, Azli Mohd. Noor, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan sebaik pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli, semalam.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh selaku yang diamanahkan menjaga kapal didakwa melakukan pecah amanah dengan menyeleweng 26,000 liter minyak diesel dan menyebabkan kerugian RM41,600.

Kesalahan itu didakwa dilakukan oleh tertuduh pada 12 Februari 2023 di sekitar perairan Kuala Terengganu.

Tertuduh didakwa mengulangi kesalahan itu pada 20 dan 25 Februari tahun sama di lokasi sama melibatkan 20,000 dan 15,000 lagi liter minyak diesel dengan kerugian berjumlah RM32,000 dan RM24,000.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara antara satu hingga 14 tahun dan sebat serta denda mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan (KK).

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 untuk semua pertuduhan dan menetapkan 21 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nabihah Hanin Ayim manakala tertuduh diwakili Che Amir Che Musa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya