Beberapa lagi pantai awam PD akan turut kuatkuasakan larangan berkhemah - Utusan Malaysia

Beberapa lagi pantai awam PD akan turut kuatkuasakan larangan berkhemah

SEGELINTIR pengunjung didapati memasang khemah masing-masing ketika tinjauan Utusan Malaysia di Pantai Bagan Pinang, Port Dickson ketika cuti persekolahan baru-baru ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) akan turut menguatkuasakan larangan untuk aktiviti perkhemahan di beberapa lagi kawasan pantai awam yang terdapat di daerah ini.

Yang Dipertua MPPD, Nurhazelin Makli berkata, pihaknya akan memulakan penguatkuasaan terutamanya di pantai-pantai yang mempunyai pandangan langsung dari jalan utama.

“Pantai awam memang selama ini merupakan kawasan larangan berkhemah. Sekarang MPPD akan memulakan dahulu dengan pantai-pantai awam yang memang mempunyai pandangan langsung dari jalan utama,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Kelmarin pihak MPPD mengeluarkan notis pemakluman larangan aktiviti perkhemahan di tiga kawasan pantai di daerah ini iaitu Pantai Bagan Pinang, Pantai Saujana dan Pantai Cahaya Negeri.

Menerusi notis pemakluman yang dikeluarkan itu, sebarang pelanggaran terhadap larangan tersebut, tindakan boleh diambil di bawah Undang-Undang Kecil Taman (MPPD) 2008 dan boleh dikompaun sebanyak RM1,000.

Berdasarkan laman sesawang MPPD, terdapat sebanyak 11 kawasan pantai peranginan terdapat di daerah ini.

Nurhazelin dalam pada itu berkata, aduan dan maklum balas pengunjung berkaitan aspek keselesaan, kebersihan dan nilai estetika pantai menjadi faktor utama pihaknyta mengambil tindakan tegas dengan menetapkan tiga pantai utama itu sebagai kawasan larangan aktiviti perkhemahan.

Jelas beliau, aduan tersebut telah diterima pihaknya daripada pengunjung sepanjang cuti persekolahan pada bulan Disember lalu.

“Aspek keselesaan sama ada bagi tujuan santai atau perkelahan, kebersihan dan nilai estetika pantai telah menjadi isu dan perhatian utama dalam kalangan pengunjung.

“Sehubungan dengan itu, MPPD dengan sokongan pentadbiran kerajaan negeri telah bersetuju untuk menetapkan pantai awam sebagai kawasan larangan aktiviti perkhemahan bermula di tiga kawasan pantai awam itu berkuat kuasa serta merta,” katanya.

Menurutnya, larangan berkenaan meliputi aktiviti perkhemahan bermalam, perkhemahan harian dan penyalahgunaan pondok wakaf sebagai tapak perkhemahan.

“Pengunjung pantai disaran untuk menjalankan aktiviti perkelahan secara santai tanpa sebarang dirian khemah, penghadang kanvas dan seumpamanya,” kata beliau lagi.

Sementara itu, katanya, beberapa tapak perkhemahan yang beroperasi ketika ini di daerah ini kebanyakannya adalah di atas tanah milik persendirian.

“Pantai awam sememangnya merupakan kawasan larangan (perkhemahan), tapak-tapak sedia ada yang ada aktiviti perkhemahan kebanyakannya adalah di atas tanah milik,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya