KUALA LUMPUR : Seorang bayi perempuan berusia setahun terkunci hampir sejam dalam rumahnya di tingkat 12 sebuah apartmen di Jalan Wangsa Kuarza, Wangsa Maju, di sini hari ini.
Satu panggilan kecemasan diterima Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur daripada keluarga bayi itu sekitar pukul 11.37 pagi.
Bomba Kuala Lumpur dalam kenyataan berkata, sebanyak lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setapak bersama dua jentera digerakkan ke lokasi kejadian.
Sebaik tiba pada pukul 11.42 pagi, didapati seorang bayi perempuan terperangkap dalam rumah.
“Anggota menggunakan teknik ‘repelling’ iaitu turun menggunakan tali dari balkoni luar tingkat 13 untuk memasuki rumah mangsa,” kata kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, mangsa berjaya diselamatkan pada pukul 12.30 tengah hari dan tiada kecederaan dilaporkan.
“Mangsa didapati terkunci kerana ibunya tertinggal kunci di dalam rumah dan pintu utama dilengkapi dengan kunci automatik (autolock),” jelasnya.