KANGAR: Dianggarkan sebanyak RM1.75 bilion mengalir ke negeri ini sempena Tahun Melawat Perlis (TMPs) tahun ini sekali gus bakal memberi limpahan ekonomi kepada penduduk negeri ini.
Jumlah tersebut hanya mengambil kira jika seorang pengunjung atau keluarga berbelanja minimum RM500 melibatkan 3.5 juta pelancong yang menjadi sasaran sempena TMPs bagi tahun pertama pada 2024.
Selain itu, kos bercuti di Perlis juga menjimatkan, dengan RM500 juga sudah cukup untuk beristirehat di sini sambil menikmati keindahan tersedia di negeri ini.
Malah, kos penginapan inap desa di Perlis kebanyakannya juga berharga bawah RM200 malah harga makanan dan caj bayaran ke lokasi tumpuan juaga amat murah berbanding tempat-tempat lain.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, Wan Badariah Wan Saad berkata, jumlah itu mungkin lebih tinggi jika pengunjung berbelanja RM1,000 atau lebih apabila bercuti di sini.
Katanya, jika sebelum ini, disasarkan pengunjung seramai 3.5 juta sepanjang TMPs 2024/2025 namun melihat kepada situasi semasa, jumlah sasaran itu mungkin bertambah dalam tempoh dua tahun tersebut.
“Ia sekali gus turut bakal memberi limpahan ekonomi kepada penduduk negeri ini sempena Tahun Melawat Perlis.
“Perlis sememangnya mempunyai tarikan dalam menarik kehadiran pelancong memandangkan terdapat keunikan tersendiri khususnya keindahan alam semula jadi dan kini Perlis menjadi antara lokasi tumpuan setiap kali musim cuti persekolahan dan hujung minggu.
“Malah, perbelanjaan bercuti di negeri juga menjimatkan dengan RM500 juga sudah cukup memandangkan makanan dan penginapan tidak terlalu mahal. Jika pengunjung menyediakan wang sebanyak RM1,000 ia juga sudah cukup mewah,” katanya.
Sebagai rekod, lokasi-lokasi pelancongan di Perlis merangkumi lima kluster iaitu Jejak Pelancongan Eko, Jejak Pelancongan Agro, Jejak Pelancongan Membeli-belah dan Makanan, Jejak Pelancongan Sejarah, Warisan, Seni dan Budaya serta Jejak Pelancongan Sukan dan Rekreasi.
Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan, dianggarkan RM300 juta mengalir keluar dalam tempoh tiga hari sempena cuti hujung minggu atau cuti persekolahan di Thailand berikutan fenomena rakyat Malaysia bercuti ke negara Gajah Putih tersebut khususnya Hatyai.