TEMERLOH: Penantian seorang bapa, Shamsulkamal Salleh, 61, menunggu panggilan telefon anak-anaknya bagi mengubat rindu berakhir apabila dia ditemukan meninggal dunia kerana terjatuh di Surau Kampung Mambang Berulang, Mentakab kira-kira pukul 12 tengah malam tadi.
Arwah tinggal di surau terbabit hampir tiga tahun sebaik pulang dari Melaka kerana rumah pusakanya dihanyutkan air banjir pada Disember 2021.
Utusan Malaysia sempat menemu bual Shamsulkamal kira-kira pukul 5 petang semalam dan arwah mengakui rindu mendengar suara enam anaknya.
Arwah mendakwa dihalau isteri kerana tidak bekerja dan sering sakit ekoran penyakit strok dihidapinya.
Menurut arwah, walaupun anak-anaknya tahu dia pulang ke Pahang, tetapi tiada seorang pun menghubungi bertanya khabar.
“Mereka mungkin terpengaruh dengan ibunya di Melaka yang membenci saya dan sanggup menghalau saya dalam serba kekurangan,” kongsi arwah ketika ditemui di Surau Kampung Mambang Berulang di sini semalam.
Arwah mengakui walaupun disisih keluarga sendiri tetapi bersedia memaafkan mereka.
Seorang penduduk Kampung Mambang Berulang, Marto Marijo, 63, berkata, sepanjang tinggal di surau itu, arwah yang uzur hanya mengharapkan belas kasihan orang kampung untuk makan dan minum.
“Arwah tinggal di surau itu sekadar meneruskan hayatnya,” katanya.
Arwah Shamsulkamal selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Lubuk Serdang, Kampung Mambang Berulang, selepas Zohor hari ini. – UTUSAN