KOTA TINGGI: Banjir kilat yang melanda daerah ini semalam mengakibatkan banyak kerosakan infrastruktur terutama di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Penawar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penawar, Fauziah Misri berkata ini termasuklah tanah runtuh dan jalan rosak yang dikesan berlaku berhampiran dengan kediaman peneroka di Felda Air Tawar 1 di sini.
Katanya banjir kilat yang berlaku itu disifatkan paling teruk malah telah melibatkan sebahagian perumahan Felda yang sebelum ini tidak pernah dilanda banjir.
Menurutnya perkampungan itu terdapat sungai di sekelilingnya dan kerja naik taraf infrastruktur, sungai mahukan longkang perlulah dilakukan kadar segera bagi membendung masalah banjir itu.
“Hujan lebat sehingga petang semalam menyebabkan penduduk melibatkan 40 buah rumah dipindahkan. Pihak kami jangka rumah lain yang terlibat banjir dan kali ini rumah lain pula yang kena sehingga mencecah paras peha.
“Kita harap agensi terlibat akan bantu mangsa terjejas ini untuk pulihkan infrastruktur tersebut kalau tidak baiki atau naiktaraf jika banjir berlarutan dibimbangi akan menjadi semakin teruk,” katanya ketika ditemui ketika melawat mangsa banjir kilat di Felda Air Tawar di sini hari ini.
Tambahnya pihaknya juga akan menilai taksiran kerosakan dan dibawa ke kerajaan negeri untuk memohon peruntukan bagi menyegerakan kerja-kerja baik pulih.