Banjir Ulu Tembeling semakin buruk - Utusan Malaysia

Banjir Ulu Tembeling semakin buruk

Sebuah bangunan yang hampir tenggelam di dataran perniagaan Kampung Bantal, Ulu Tembeling, Jerantut hari ini.- FOTO/IHSAN PENDUDUK KAMPUNG BANTAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT : Keadaan banjir di Kampung Bantal, Ulu Tembeling daerah ini semakin buruk berikutan air Sungai Tembeling yang meningkat sejak semalam menenggelamkan keseluruhan kawasan dataran perniagaan dan tempat rendah di kampung tersebut.

Menurut sumber penduduk bacaan paras air tempat menyukat air Jabatan Pengairan Saliran (JPS) menunjukkan paras 110.88 meter pada pukul 9.06 pagi hari ini, iaitu menunjukkan melebihi aras bahaya.

Sumber tersebut juga berkata, keadaan kawasan dataran perniagaan yang melibatkan keseluruhan premis kedai kopi, kedai runcit, wakaf menunggu bot penambang, pusat inap desa dan astaka padang permainan serta beberapa tempat ditenggelami air.

Kecuali kedai kopi dan rumah yang terletak di pesisir Sungai Tembeling tidak tenggelam kerana pemilik masing-masing memasang tong pelampung dan diikat kemas dengan tali besi pada pokok besar.

Bagaimanapun sehingga pukul 2.30 petang ini, menurut sumber penduduk di situ, air Sungai Tembeling dalam keadaan turun sedikit menurun berikutan hujan lebat dan ribut petir sudah berhenti sejak pagi tadi.

Kejadian banjir sejak semalam yang disifatkan hampir sama dengan kejadian bah merah 2014 bagaimanapun tidak melibatkan pemindahan penduduk kerana rumah mereka terletak di tempat yang tinggi.

Utusan Malaysia semalam melaporkan keadaan air Sungai Tembeling sudah melimpah ke kawasan dataran perniagaan Kampung Bantal pada pukul 4 petang semalam dan mula menenggelamkan beberapa premis di situ.

Dalam pada itu, penduduk Kampung Bantal, Mohd Zaimi Ali, 59, berkata, sebuah sangkar ternakan ikan patin yang berusia lima bulan bocor teruk akibat dilanggar kayu balak reput yang hanyut.

“Ratusan ternakan ikan patin yang akan dipasarkan pada bulan Ramadan ini kemungkinan terlepas ke dalam sungai dan keadaan ini menyebabkan saya menanggung sedikit kerugian.

“Saya dengan bantuan rakan masih berusaha menarik sangkar ikan patin dan ikan tilapia ke tebing dan menambat dengan tali besi pada batang pokok besar supaya tidak dihanyutkan ataupun bocor dilanggar kayu balak reput,” katanya.

Ujarnya, walaupun air Sungai Tembeling tren menurun, tetapi penduduk tetap berwaspada memandangkan keadaan cuaca tidak menentu pada sebelah petang dan malam nanti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya