TUMPAT: Banjir termenung yang masih berlaku di Kampung Kubang Sawa di sini menyaksikan tiga keluarga terpaksa menggunakan sampan dalam urusan harian mereka.
Tinjauan mendapati kawasan rumah ketiga-tiga keluarga itu masih ditenggelami air sedalam 0.3 meter.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Rahimah Che Mat, 51, berkata, walaupun cuaca semakin baik, namun kawasan rumahnya masih lagi ditenggelami banjir sedalam 0.7 meter.
“Sudah lapan hari kami berdepan dengan banjir termenung hingga urusan harian tergendala,” katanya ketika ditemui, semalam.
Rahimah memberitahu, selain sampan hanya kenderaan pacuan empat roda boleh memasuki kawasan tersebut kerana jalan masih ditenggelami air.
Sementara itu, banjir di Kampung Bendang Pak Yong, Kajang Sebidang, Kuala Jambu, Derdap, Teluk Jering, Simpangan dan sekitar sudah pulih sepenuhnya. – UTUSAN