JOHOR BAHRU: “Banjir sehari, tetapi ambil masa enam bulan baru pulih seperti sediakala.”
Itu keluhan seorang mangsa banjir, M. Hairudin Yasin, 52, apabila kediaman keluarganya di Kampung Maju Jaya, Jalan Kempas Lama di sini dinaiki air setinggi paras pinggang, semalam.
Menurutnya, kejadian itu berlaku dengan pantas dan banyak perabot besar tidak sempat dialihkan, menyebabkan dia menanggung kerugian lebih RM10,000.
“Kedudukan rumah ini tidak jauh dari Sungai Tebrau. Jadi, apabila hujan lebat pada pukul 9 pagi, saya sudah rasa tidak sedap hati kerana risau air masuk rumah. Saya terus bergegas mengalihkan kereta dan motosikal ke kawasan bukit di kawasan kampung ini, jaraknya kira-kira 500 meter, tetapi sekurang-kurangnya ia selamat.
“Walau bagaimanapun, perabot-perabot besar seperti meja, sofa dan perkakasan elektrik seperti peti sejuk dan peti sejuk beku tenggelam dalam air,” katanya ditemui di sini hari ini.
Bapa kepada tiga orang anak itu turut membelanjakan lebih RM1,000 untuk mengupah pekerja membantu membersihkan kediamannya.
“Saya tidak larat untuk buat sendiri, apatah lagi dalam keluarga ini hanya saya seorang sahaja lelaki, anak-anak semuanya perempuan dan masih bersekolah.
“Saya anggarkan kerugian lebih RM10,000, memang makan duit dan masa setiap kali banjir. Kerja membersih dan memulihkan kembali rumah ini seperti sebelum banjir mungkin memakan masa sehingga enam bulan,” katanya sambil memaklumkan kali terakhir kampung itu dilanda banjir besar pada 2006.
Seorang lagi penduduk kampung tersebut, Mahadi Kamat, 63, pula tidak sempat menyelamatkan dua buah kenderaannya kerana air naik dengan pantas.
“Hanya dalam tempoh satu jam lebih, rumah ini telah dinaiki air. Kereta Proton Saga dan sebuah motosikal Honda EX5 habis ditenggelami air. Begitu juga dengan perabot-perabot dalam rumah. Mujurlah tiada ahli keluarga yang mendapat kecederaan atau lain-lain, dokumen penting juga telah diselamatkan terlebih dahulu,” kata bapa kepada tiga orang anak ini.
Setakat pukul 9 pagi hari ini, Johor merekodkan seramai 7,297 mangsa yang ditempatkan di 53 buah PPS di enam daerah, iaitu Kota Tinggi, Kluang, Johor Bahru, Kulai, Segamat dan Pontian. – UTUSAN