KOTA TINGGI: Rakyat terutamanya penduduk di kawasan berisiko banjir perlu lebih responsif dan peka dengan ramalan cuaca dikeluarkan Jabatan Meteorologi supaya sentiasa berada dalam keadaan siap-siaga.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, walaupun hanya ramalan, jabatan itu adalah yang paling boleh dipercayai kerana merupakan tugas hakiki mereka dalam mengeluarkan ramalan tersebut.
Menurutnya, informasi diterima itu penting bagi membolehkan persediaan dibuat di peringkat awal, khususnya di kawasan yang bakal berlaku banjir besar.
“Sebagai contoh, difahamkan terdapat 65 ‘hotspot’ banjir di Kota Tinggi, penduduk terbabit perlu bersiap-siaga. Sejak 4 Januari hingga hari ini sudah lebih seminggu banjir melanda.
“Jadi, saya gesa supaya kita peka dan mengikut ramalan Jabatan Meteorologi kerana mereka ‘the most credible’ dalam ramalannya,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Kota Kecil, dekat sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay; Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat dan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitenden Hussin Zamora.
Dalam pada itu, Saifuddin turut memuji kecekapan polis Kota Tinggi susulan tiada sebarang laporan membabitkan pencerobohan melibatkan premis dan rumah yang terlibat banjir berikutan hasil pemantauan keselamatan dilakukan 24 jam sepanjang banjir berlaku.
Setakat ini semua aset di 13 balai polis di bawah pentadbiran Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi melibatkan kenderaan pacuan empat roda dan bot dapat diselaraskan dengan baik dalam kerja-kerja menyelamat.
Mengenai pengurusan pasca banjir, beliau berkata, Malaysia mempunyai pengalaman dalam menguruskan bencana alam tersebut di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).
“Ini kerana pengalaman yang berulang-ulang menguruskan sejak sekian lama menjadikan misi menguruskan banjir ini berada dalam keadaan tahap siap siaga yang sangat baik di bawah Nadma.
“Semua agensi terlibat kita macam ada satu prosedur operasi standard (SOP) yang diguna pakai dan difahami semua agensi. Sebab itu kalau kita tengok banjir yang berlaku di pantai timur atau di bahagian pantai barat ataupun selatan seperti ini (diurus dengan baik) kerana panduan itu sangat jelas daripada struktur peringkat nasional sampai peringkat daerah. – UTUSAN