JOHOR BAHRU: Tiga buah Kampung di Skudai dilanda banjir berikutan hujan lebat berterusan sejak malam tadi.
Kampung Sepakat Baru Senai, Kampung Laut dan SK Kampung Laut ditenggelami air antara satu hingga dua meter.
Seorang penduduk, Shahadan Abdullah, 85, berkata, air mulai naik kira-kira pukul 10 pagi sehingga paras lutut.
Dia yang menjalankan perniagaan kedai runcit di Kampung Laut sempat menyelamatkan beberapa barangan, terutamanya makanan.
“Tak sangka hujan lebat sejak malam tadi hingga ke petang tanpa henti. Saya bersyukur barangan dalam kedai runcit saya selamat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Seorang lagi penduduk, J. Murugan, 39, berharap kerajaan dapat mendalam dan melebarkan lagi Sungai Skudai bagi mengurangkan kejadian banjir di kawasan tersebut.
“Memang teruk banjir tahun baru 2024 ini, tahun 2023 saya terpaksa menghadapi empat kali banjir. Minta tolonglah kepada Menteri Besar dan wakil rakyat, bantulah nasib penduduk di SK
Kampung Laut, sampai bila kami terpaksa berdepan dengan banjir setiap kali hujan,” katanya.
Tinjauan mendapati penduduk yang terjejas dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP).
Seorang penduduk yang bertindak sebagai pemantau banjir, Kadir Jamak, 51, berkata, hujan lebat sejak malam tadi menyebabkan banyak kawasan kampung terjejas.