JOHOR BAHRU: Situasi banjir di negeri kian buruk dengan jumlah mangsa yang dipindahkan menunjukkan peningkatan mendadak, iaitu seramai 6,564 mangsa ditempatkan di 51 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 8 pagi ini.
Jumlah itu meningkat sekali ganda berbanding seramai 3,322 mangsa daripada 1,819 keluarga yang ditempatkan di 45 PPS pada pukul 8 malam tadi.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani memberitahu, enam daerah terjejas iaitu Johor Bahru, Kota Tinggi, Segamat, Kluang, Pontian dan Kulai.
“Kota Tinggi merupakan daerah paling terjejas ketika ini dengan seramai 2,964 mangsa dipindahkan ke 24 buah PPS, diikuti Johor Bahru dengan seramai 1,844 mangsa di 10 PPS.
“Kluang menyaksikan seramai 1,633 mangsa ditempatkan di 14 PPS; Kulai seramai 86 mangsa di sebuah PPS; Segamat seramai 20 mangsa di sebuah PPS dan Pontian seramai 17 mangsa di sebuah PPS,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Azmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Johor turut memberitahu, kejadian banjir di negeri ini tidak merekodkan sebarang kecederaan atau kematian mangsa.
“Sementara itu, Jabatan Meteorologi telah mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap buruk dan waspada di seluruh Johor, sepanjang hari ini.
“Enam sungai telah mencapai paras air berbahaya, iaitu Sungai Kahang di Kampung Contoh, Kluang; Sungai Siam di Kampung Siam, Kulai; Sungai Linggiu, Sungai Kepala Orang serta dua kembangan Sungai Johor di Kota Tinggi,” katanya.
Azmi turut memberitahu, ketika ini tiga laluan ditutup sepenuhnya untuk kenderaan, iaitu Jalan Kota Tinggi-Kluang dan Jalan Tai Hong di Kota Tinggi serta Jalan Maju Jaya -Seelong di Johor Bahru. – UTUSAN