Banjir Johor makin pulih, hanya 791 mangsa masih di PPS - Utusan Malaysia

Banjir Johor makin pulih, hanya 791 mangsa masih di PPS

ANGGOTA APM memantau keadaan banjir di Kampung Seberang Batu Badak, Segamat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Keadaan banjir di negeri ini bertambah baik apabila jumlah mangsa berkurangan kepada 791 mangsa daripada 214 keluarga, setakat pukul 4 petang tadi.

Setiausaha Kerajaan negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani berkata, jumlah pusat pemindahan sementara (PPS) yang masih beroperasi berkurangan kepada sembilan PPS di lima daerah.

Katanya, jumlah mangsa banjir itu berkurangan berbanding 1,124 mangsa daripada 319 keluarga di 13 PPS di Segamat, Kluang, Mersing, Kota Tinggi dan Batu Pahat yang direkodkan pukul 12 tengah hari tadi.

“Jumlah mangsa banjir tertinggi direkodkan di Mersing dengan 432 mangsa daripada 123 keluarga, berkurangan berbanding 606 mangsa daripada 184 keluarga pada tengah hari tadi.

“Kota Tinggi yang paling terjejas akibat banjir sebelum ini semakin pulih apabila mangsa berkurangan daripada 254 mangsa membabitkan 64 keluarga kepada 150 mangsa melibatkan 33 keluarga,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Azmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri memberitahu, jumlah mangsa banjir di Kluang juga menurun daripada 153 mangsa membabitkan 41 keluarga kepada 98 mangsa daripada 28 keluarga di satu PPS.

Jumlah mangsa di Segamat dan Batu Pahat tidak mencatatkan perubahan dengan seramai 88 mangsa daripada 25 keluarga di dua PPS di Segamat dan 23 mangsa daripada lima keluarga di satu PPS.

“Walaupun keadaan banjir hampir pulih, masih terdapat dua jalan yang masih tidak boleh dilalui disebabkan banjir melibatkan Jalan Tanah Abang di Mersing dan Lingkaran Kahang Barat di Kluang,” katanya.

Laporan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Johor menunjukkan Sungai Muar di Jeti Kampung Tekam, Segamat dan Sungai Kahang di Kampung Contoh, Kluang berada di paras bahaya manakala Sungai Muar di Buloh Kasap berada pada paras amaran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya