KOTA TINGGI: Walaupun memasuki hari ketiga pusat bandar ini ditenggelami banjir, namun masih terdapat segelintir mangsa yang berdegil enggan berpindah ke tempat selamat.
Justeru, pasukan penyelamat terpaksa menggunakan wisel bagi memanggil keluar mangsa yang masih berada di sekitar bandar tersebut.
Kebanyakan mangsa adalah mereka yang menetap di tingkat dua rumah kedai dan difahamkan tidak mahu keluar kerana masih mempunyai bekalan makanan.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, mangsa hanya menghubungi pihak berkuasa untuk bantuan menyelamat selepas bekalan makanan habis.
“Berdasarkan ramalan awal Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), cuaca di daerah ini diramalkan cerah sejak semalam, namun hujan lebat masih berlaku.
“Hujan lebat yang bertembung dengan air pasang besar sehingga 2.9 meter menyebabkan pusat bandar dijangkakan mungkin akan terus dinaiki air bah dalam masa dua tiga hari ini.
“Oleh itu, orang ramai dinasihatkan untuk tidak masuk ke pusat bandar ketika ini bagi memberi laluan kepada anggota penyelamat melakukan operasi pemantauan yang dilakukan 24 jam sehari,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Hujan lebat sejak malam tadi memburukkan lagi keadaan banjir di pusat bandar Kota Tinggi ditambah dengan fenomena air pasang yang menyebabkan kawasan tersebut tidak menunjukkan tanda-tanda surut.