JELI: Seorang anggota Jabatan Sukarelawan Rakyat (Rela) terkedu selepas melihat dinding rumahnya runtuh dihempap tanah semasa banjir dalam kejadian di Kampung Reka Dalam, di sini Jumaat lalu.
Kejadian pukul 5.30 petang itu berlaku semasa Zuhari Ismail, 44, sedang menjalankan tugas di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Lubok Bongor.
Zuhairi berkata, semasa sedang bertugas dia telah menerima panggilan dari isteri yang memaklumkan kejadian tersebut.
Menurutnya, sejurus mendapat perkhabaran duka itu dia terus memaklum kepada ketua untuk meminta kebenaran pulang ke rumah.
“Sejurus tiba, saya dapati di dinding di dalam bilik runtuh dan ruang tamu termasuk dapur dipenuhi dengan tanah serta lumpur kesan runtuhan itu.
“Malah sehingga hari ini air dari runtuhan tersebut masih lagi mengalir ke dalam rumah” katanya ketika ditemui pemberita di sini selepas menerima lawatan daripada Ketua Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd. Fauzi serta rombongan sukarelawan Puteri UMNO.
Zuhairi memberitahu, dia lega apabila isteri Zuliana Ibrahim, 38, dan tiga anak-anak terselamat dalam kejadian tersebut.
Katanya, semasa kejadian isteri sedang tidur di dalam bilik sebelum dikejutkan dengan air yang mengalir masuk ke dalam rumah.
“Selang beberapa minit kemudian isteri dan anak-anak dikejutkan dengan bunyi runtuhan tersebut.
“Buat masa ini, kami memilih untuk menyewa sementara waktu atas faktor keselamatan. Pada masa sama, saya tidak berani untuk melakukan kerja mencuci kerana bimbang runtuhan akan berlaku lagi selepas ini,” ujarnya.-UTUSAN