KOTA BHARU: Seramai 131 anggota dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kelantan dan Terengganu terjejas dalam bencana banjir yang melanda dua negeri itu pada hujung tahun lalu.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, jumlah tersebut melibatkan seramai 49 anggota di bawah Briged Kelapan Infantri Malaysia, veteran di Kelantan (47) dan veteran di Terengganu (35)
Menurutnya, Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) akan melihat beberapa aspek bantuan terutamanya aspek pembaikan rumah dan keperluan selepas banjir bagi veteran ATM yang terlibat di kedua-dua negeri itu.
“JHEV akan buat penilaian kerosakan dan membantu usaha baik pulih rumah-rumah veteran yang terjejas dalam kejadian bencana banjir.
“Bagi aspek keperluan selepas banjir, kita akan memberi bantuan termasuk barangan elektrik dan sebagainya,” katanya kepada pemberita semasa mengadakan Lawatan Pasca Banjir di Markas Briged Kelapan Infantri Malaysia, Pengkalan Chepa, di sini hari ini.
Hadir sama, Panglima Briged Kelapan Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Muzamil Ali dan Ketua Pengarah JHEV, Mejar Jeneral Zambery Jefry Darus.
Adly memberitahu, Pejabat Timbalan Menteri Pertahanan kini memberi fokus kepada operasi pasca banjir di seluruh negara termasuk Kelantan, Terengganu dan Johor yang kini masih dilanda bencana itu.
Katanya, seramai lebih 800 anggota bersama 30 pegawai di bawah 8 Briged terlibat dengan Ops Murni untuk membantu mangsa-mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu.
“Banyak aset-aset baharu yang dibeli pada tahun lalu untuk membantu semasa bencana. Aset itu akan memudahkan akses kita kepada rakyat terutamanya di kawasan pendalaman.
“Sebahagian aset ketenteraan akan diguna untuk tujuan operasi banjir. Oleh itu, kita sesuaikan keperluan aset agar ia bukan sahaja untuk tujuan bencana, tetapi boleh digunakan semasa operasi,” ujarnya.
Adly berkata, pihaknya telah menetapkan seramai 18,000 anggota tentera untuk persediaan menghadapi bencana banjir di seluruh negara.
Katanya, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin telah mengeluarkan arahan dan atur gerak anggota ATM di seluruh negara berdasarkan keperluan di kawasan bencana.
“Terbaharu, kita telah menggerakkan seramai 24 pegawai dan 255 anggota ke 10 daerah di Johor dan tiga daerah di Pahang. Selain itu, aset-aset ATM yang terdiri daripada 17 lori seberat tiga tan, lori satu tan (11), lori tujuh tan (5) dan bot penyelamat (16) turut dihantar ke lokasi tersebut,” ujarnya.-UTUSAN