PORT DICKSON: Seekor penyu agar betina seberat 110 kilogram ditemukan mati di Pantai Batu 1 dekat Hotel Costa Rica, di sini, semalam.
Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Sembilan Kasim Tawe berkata, ia merupakan kes pertama penemuan bangkai haiwan itu pada tahun ini.
Menurutnya, Pusat Ikan Hiasan Port Dickson telah menerima aduan daripada penguat kuasa Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) berkenaan penemuan bangkai penyu agar yang dianggarkan berumur 40 tahun itu.
“Hasil pemeriksaan terhadap luar badan penyu tersebut, tiada kesan luka yang kritikal dijumpai. Bangkai penyu kemudiannya direkod panjang dan berat seterusnya ditanam di kawasan terbabit.
“Untuk rekod, pada tahun lalu terdapat dua ekor penyu agar mati dan terdampar dan berlaku pada bulan Januari dan Februari,” katanya hari ini-UTUSAN.