PORT DICKSON: Satu bahan buangan disyaki bahan berbahaya kepada alam sekitar ditemukan telah dilupus secara haram di satu kawasan ladang kelapa sawit di Tanah Merah, di sini pagi tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan berkata, pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan telah menerima aduan mengenai pelupusan haram tersebut yang berlaku di premis Cypark dan Kualiti Alam Sdn. Bhd. (KASB) di sini.
Menurutnya, aduan berkenaan diterima daripada pihak KASB pada pukul 11.15 pagi dan hasil siasatan menemukan bahan buangan berwarna kehijauan dan berbau seakan solvent (pelarut).
Jelas beliau, kawasan kejadian terletak di kawasan ladang kelapa sawit dengan permukaan kecerunan yang berbeza menyebabkan buangan mengalir seterusnya bertakung di kawasan rendah.
“Tiada aliran air di kawasan buangan tersebut, keluasan kawasan pencemaran berkenaan dianggarkan sekitar 70×10 kaki.
“Susulan itu, dua sampel dalam bentuk cecair telah di ambil untuk dianalisis oleh Jabatan Kimia Malaysia. Selain itu, pita penghadang juga telah di pasang di kawasan kejadian bagi mengelak orang awam memasuki kawasan pelupusan tersebut,” katanya di sini hari ini.
Veerapan menambah, pegawai JAS telah membuat laporan di Balai Polis Tanah Merah di sini petang tadi bagi memaklumkan penemuan bahan buangan tersebut dan mendapatkan bantuan untuk pemantauan kawasan.-UTUSAN.