BACHOK: Jajahan Bachok menjadi perintis ternakan lembu wagyu di negara ini apabila ia diusahakan secara insentif dan bersungguh-sungguh oleh anak tempatan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, menariknya ia diusahakan oleh golongan bumiputera.
Menurutnya, beliau amat gembira dan berbangga dengan usaha berani itu kerana bidang ternakan tersebut disifatkan sebagai berprestij tinggi.
“Saya harap semua pihak termasuk agensi pusat dan negeri perlu bekerjasama dalam membantu mengembangkan lagi usaha ini.
“Apa yang dilakukan di Jelawat ini (Kampung Seneng) mampu berkembang dengan bantuan sains serta teknologi,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke Projek Pembiakan dan Penternakan Lembu Baka Wagyu Milik Kelfram Sdn. Bhd di Kampung Senang, Jelawat hari ini.
Ahli Parlimen Kota Raja memberitahu, ternakan lembu itu mempunyai potensi yang besar jika diusahakan dengan bersungguh-sungguh.
Katanya, permintaan terhadap daging wagyu agak tinggi terutama di Kuala Lumpur.
“Hotel-hotel lima bintang di Kuala Lumpur bukan semua ada menyediakan daging wagyu kerana bekalan masih belum mencukupi.
“Selain itu, saya percaya jika ada yang mahu melaksanakan ibadah korban pada Hari Raya Aidiladha menggunakan lembu wagyu permintaannya ada terutama di Kuala Lumpur, Shah Alam, Damansara dan sekitarnya,” ujarnya.
Mohamad berkata, hal ini kerana kawasan tersebut ada penduduk yang mampu berbuat demikian.-UTUSAN