JEMPOL: Polis menafikan dakwaan audio tular kejadian seorang lelaki hilang tangan akibat digigit harimau berlaku dekat Bahau di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, sebaliknya kejadian itu dipercayai berlaku di Indonesia malah telah dilaporkan oleh pihak media negara jiran itu, dua hari lalu.
“Saya difahamkan kejadian tu berlaku di Indonesia dan kecederaan hilang tangan disebabkan kena gigit buaya. Setakat ini di Balai Polis Bahau, kami tidak menerima sebarang laporan daripada orang awam berkenaan kes gaduh yang mendatangkan kecederaan ataupun digigit harimau.
“Oleh itu, kami harap orang ramai tidak menyebarkan maklumat yang tidak tepat sehingga menimbulkan rasa kurang selesa masyarakat setempat,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Terdahulu tular sejak semalam audio di aplikasi media sosial WhatsApp mendakwa kejadian tersebut berlaku di dalam kawasan Bahau malah turut meminta penduduk berhati-hati.-UTUSAN.