KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) perlu bersedia dan bersikap terbuka untuk melalui proses transformasi bagi mewujudkan landskap kerjasama agensi demi mencapai satu matlamat dan satu objektif untuk negara tercinta. .
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, ia boleh dicapai menerusi sinergi kerjasama erat di antara kerajaan, masyarakat secara keseluruhannya dan ATM.
“Beta berasa amat sukacita dengan pelbagai kejayaan dan prestasi tinggi yang telah dipamerkan oleh ATM.
“Namun demikian, barisan kepimpinan ATM hendaklah terus meningkatkan aspek pemerintahan dan kawalan serta nilai profesionalisme agar angkatan keramat ini terus kekal lestari sebagai benteng utama pertahanan negara,” titahnya.
Terdahulu, Seri Paduka berkenan bercemar duli ke Istiadat Perbarisan Menjunjung Kasih di Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi di sini, hari ini.
Al-Sultan Abdullah bertitah, ATM hendaklah terus diperkasa agar sejajar dengan matlamat negara untuk membentuk sebuah angkatan masa hadapan yang berkeupayaan untuk melindungi kedaulatan negara dan pada masa sama dapat menangani cabaran geopolitik dunia yang kompleks.
“Justeru, aspirasi ke arah pembentukan sebuah ATM masa hadapan yang kredibel dan berkeupayaan tinggi wajar diadakan sebagai suatu agenda nasional.
“Penumpuan terhadap aspek kebajikan serta kesejahteraan warga ATM di samping pembentukan modal insan berkualiti tinggi adalah tunjang utama dalam mendukung aspirasi angkatan masa hadapan,” titahnya.
Titahnya, angkatan masa hadapan yang bakal dibentuk kelak adalah jaminan dalam menentukan kedaulatan negara sentiasa terpelihara dan bumi bertuah ini dapat diwarisi oleh generasi masa hadapan.
Seri Paduka pada masa sama menzahirkan kesetiaan tinggi dan segala khidmat bakti yang telah dicurahkan oleh warga ATM kepadanya sepanjang menjadi pemerintah tertinggi ATM.
“Beta dan Raja Permaisuri Agong amat menghargai seluruh ahli keluarga yang memberikan dukungan dan turut berkorban demi mengizinkan orang yang dikasihi untuk berbakti kepada negara.
“Justeru, beta turut ingin menzahirkan penghargaan dan sanjungan tinggi beta kepada seluruh veteran ATM,” titahnya. – UTUSAN