PUTRAJAYA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mahu menjadikan kejayaan institusi kebombaan di Asia sebagai penanda aras baharu organisasi tersebut.
Ketua Pengarahnya, Datuk Nor Hisham Mohamad berkata, bagi tujuan itu, buat permulaan pihaknya akan bertemu Jabatan Perkhidmatan Bomba Hong Kong, minggu depan.
“Insya-Allah, saya bakal ada perjumpaan khas dengan pengurusan tertinggi agensi itu pada Isnin nanti selain beberapa institusi kebombaan mereka,” katanya.
Beliau nerkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Hormat Panglima bersempena pelantikannya sebagai peneraju kesembilan JBPM di sini hari ini.
Bekas Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM itu yang berkhidmat sejak 1997 telah diumumkan menggantikan Datuk Seri Wahab Mat Yasin yang bersara wajib pada bulan lalu.
Istiadat pemakaian tanda pangkat jawatan tersebut disempurnakan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming di kementerian berkenaan, semalam.
Mengulas lanjut, Nor Hisham, 51, berkata, langkah kerjasama dengan Hong Kong akan menjadikan JBPM boleh diinstitusikan segala kepakaran dan kemahiran para petugasnya.
Agensi di wilayah pentadbiran khas China itu ditubuhkan penjajah British pada 1868 dan ketika ini menguruskan 81 buah balai dengan tiga pusat arahan operasi di pulau tersebut.
“Saya melihat kolaborasi kali ini sedikit berbeza daripada sebelumnya yang selalu Barat dijadikan sebagai penanda aras tetapi kini kita beralih kepada benua Asia pula,” jelasnya.
Usaha berkenaan ujar beliau, juga bakal mengubah imej JBPM ke arah lebih bertaraf antarabangsa selain aspek pendigitalan jabatan yang bakal meningkatkan kecekapannya.
Ini tambahnya, termasuklah pembinaan sebuah pusat arahan utama bernilai RM41 juta yang akan dimulakan pada tahun ini sebagai peralihan daripada sistem pengurusan manual. – UTUSAN