SEREMBAN: Sebarang usaha dan rancangan sulit mahu menggulingkan kerajaan ketika ini termasuk yang disebut sebagai ‘Langkah Dubai’ merupakan yang tidak bertanggungjawab.
Bagi Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, sepatutnya mereka yang terlibat dalam rancangan itu perlu berikan fokus menjalankan tugas sebagai pemimpin selepas mereka mendapat mandat kepada rakyat.
Menurutnya, ia seperti mana beliau ketika ini sebagai Menteri Pengangkutan yang memberikan fokus untuk ‘Langkah Pendigitalan’ kementerian itu.
“Pembangkang memang tiada kerja lain, sepatutnya MB (Menteri Besar) Kedah ini fokus majikan negara, sudah diberi mandat sepatutnya dia fokus bekerja sebagai Menteri Besar Kedah bukannya ambil ‘Langkah Chow Kit, Langkah Alor Setar dan sebagainya, itu orang yang tidak bertanggungjawab.
“Orang yang cakap secara berterus terang mahu langkah itu, langkah ini yang mahu tumbangkan kerajaan adalah langkah yang tidak bertanggungjawab. Sebagai menteri besar, ahli politik, sepatutnya fokus kepada kerja kita.
“Bagi saya sebagai Menteri Pengangkutan, saya hanya ada satu langkah sahaja iaitu ‘Langkah Pendigitalan Kementerian Pengangkutan,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan peruntukan daripada pihak YTL Foundation kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. Paul di sini hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Seremban mengulas kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang mengesahkan wujudnya rancangan yang dipanggil sebagai ‘Langkah Dubai’.
Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu malah memberi bayangkan usaha mengambil alih kerajaan secara demokrasi tidak pernah dihentikan oleh pembangkang serta selagi tidak membelakangkan Perlembagaan.
Muhammad Sanusi malahan berkata, rancangan itu sebenarnya dikatakan dibincang di Kuala Lumpur sahaja dan menyifatkan ia sebagai ‘Langkah Chow Kit’ dan ‘Langkah Dubai’ itu adalah dummy sahaja.-UTUSAN.