KUALA PILAH: Seekor ular sawa seberat 120 kilogram berjaya ditangkap pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Pilah di Terentang, Batu Kikir, di sini tengah malam tadi.
Pegawai APM Daerah Kuala Pilah, Lt. (PA) Mohamad Ghazali Abd. Rahim berkata, sebaik menerima panggilan pada pukul 12.12 tengah malam, seramai empat orang anggota telah bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, pemanggil telefon iaitu penduduk memaklumkan terdapat ular sawa batik di kawasan berdekatan kandang kambing miliknya.
“Penduduk sedar apabila seekor kambingnya mati diserang ular lalu menjadikan kambing itu sebagai umpan untuk menangkap ular sawa berkenaan.
“Setibanya di lokasi, anggota APM dibawa berhampiran kandang dan telah berjaya menangkap ular sawa batik yang dalam keadaan kekenyangan setelah menelan seekor kambing seberat 25 kilogram,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Mohamad Ghazali berkata, ular itu dibawa ke Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Kuala Pilah sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) untuk tindakan selanjutnya.