Analisis tangkap layar sejarah Google cubaan memalukan Ebit Lew

Analisis tangkap layar sejarah Google cubaan memalukan Ebit Lew

EBIT Lew bersama peguamnya semasa tiba di Mahkamah Majistret Tenom, hari ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TENOM: Analisis terhadap 146 gambar tangkap layar berunsur lucah daripada sejarah Google (Google history) telefon bimbit milik pendakwah terkenal, Ebit Lew disifatkan cubaan memalukan tertuduh.

Perkara itu disebutkan dalam soalan dikemukakan peguam mewakili tertuduh, Datuk Ram Singh semasa pemeriksaan balas terhadap saksi ketujuh, Juruanalisis Kanan Siasatan Audio Video PDRM, Asisten Superitendan Latifah Abdul Aziz di Mahkamah Majistret, di sini hari ini.

Saksi menyatakan beliau tidak pasti jika analisis 936 gambar tangkap layar termasuk 146 gambar melalui sejarah google daripada telefon bimbit milik tertuduh itu bertujuan untuk memalukan tertuduh.

Namun, beliau bersetuju bahawa 146 gambar tangkap layar itu mengandungi gambar yang memalukan.

Latifah juga bersetuju bahawa 146 gambar tangkap itu diambil melalui sejarah Google telefon bimbit berkenaan.

Saksi menjelaskan bahawa arahan yang diberikan oleh pegawai penyiasat adalah untuk mengeluarkan apa-apa data dan maklumat yang mengandungi unsur seksual.

Menjawab soalan dikemukakan peguam bela bahawa sejarah Google berkenaan tidak relevan dengan aduan dibuat oleh mangsa dalam kes tersebut, saksi menjawab tidak pasti.

Mengulas lanjut, saksi menyatakan beliau juga tidak menerima arahan daripada pegawai penyiasat untuk mengeluarkan mesej dalam aplikasi Whatsapp yang telah dipadam.

Malah, beliau bersetuju dengan pertanyaan peguam bela bahawa semua mesej yang dipadam penting untuk dikeluarkan dan dianalisis.

Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew, 38, berdepan 11 pertuduhan gangguan seksual iaitu membuat hantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang wanita melalui aplikasi Whatsapp yang didakwa berlaku di daerah Tenom antara 29 Mac hingga 18 Jun 2021.

Atas kesalahan itu, Ebit didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan.

Perbicaraan dilakukan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani dan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria, Nor Azizah Mohamad dan Amalia Kamaruddin manakala, Ebit diwakili peguam Datuk Ram Singh.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN