JOHOR BAHRU: Gara-gara perbuatan anaknya yang meminjam duit daripada beberapa ceti haram atau ah long, seorang lelaki menerima ugutan dengan simbahan cat rumah dan khianat mengguna api di kediamannya
Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Chong, 47, memberitahu, pada awalnya dia tidak tahu tindakan itu dilakukan kumpulan ah long berkenaan kerana perbuatan anak lelakinya yang meminjam wang setelah mereka tidak lagi berhubungan sejak dia bercerai dengan isterinya pada 2003.
Chong yang sudah mempunyai keluarga baharu dan memiliki dua cahaya mata berusia 18 dan 12 tahun kini risau tentang keselamatan keluarganya apabila terpalit dengan tindakan anaknya itu.
“Sejak 11 Januari lalu, saya menerima pelbagai mesej dan gambar menerusi WhatsApp daripada beberapa individu tidak dikenali yang menuntut bayaran sejumlah RM4,000. Mereka turut memberikan bukti anak saya, Raymond Chong membuat pinjaman dengan mereka. Jika saya tidak menjelaskan bayaran itu, mereka akan melakukan khianat dengan api dan menyimbah cat merah ke rumah saya,” katanya ketika ditemui di Pusat Khidmat DUN Johor Jaya, di sini hari ini.
Chong yang bekerja sebagai penghantar makanan tidak ada berhubung dengan bekas isteri serta anaknya setelah tidak memiliki nombor telefon mereka bahkan tidak tahu di mana mereka tinggal.
Dia hairan bagaimana ah long itu boleh menjejakinya setelah mereka tidak lagi bersama lebih 20 tahun dan tidak lagi berhubungan sepanjang tempoh itu.
Dia juga tidak dimaklumkan berapa amaun yang dipinjam anaknya serta berapa banyak pihak yang terlibat.
“Saya sudah jelaskan kepada mereka bahawa saya sudah tidak ada kaitan dengan mereka, namun ah long terbabit tetap mahu saya jelaskan bayaran itu. Saya tidak mahu ada apa-apa masalah dengan mana-mana pihak, Jadi, tolong jangan ganggu ketenteraman keluarga saya,” katanya yang telah membuat laporan polis di Balai Setia Indah, di sini 11 Januari lalu.
Dalam pada itu, Pegawai Aduan Pejabat ADUN Johor Jaya, Mok Meng Haw berharap pihak polis dapat mengambil tindakan sewajarnya terhadap kes itu kerana Chong menjadi mangsa keadaan.
Katanya, perbuatan khianat dengan api boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan. – UTUSAN